SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan merancang menubuhkan Pusat Kawalan Bencana Negeri atau Negeri Sembilan Command Centre (NeSCOM) yang akan beroperasi sebagai pusat sehenti.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pusat kawalan itu berperanan mengkoordinasikan dan mengurus bencana di seluruh negeri dengan lebih sistematik.
"Pada masa ini kerajaan negeri telah mewujudkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri membabitkan pelbagai agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Majlis Keselamatan Negara serta Jabatan Pengairan dan Saliran negeri.
"Selain itu, kita juga bercadang membuat perolehan bot bagi kegunaan agensi berkaitan termasuk operasi menyelamat sebelum dan semasa berlakunya bencana terutama banjir besar seperti yang berlaku baru-baru ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Diraja pada Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-14 di sini pada Khamis.
Selain itu, Aminuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sikamat berkata, Unit Penyelarasan dan Pemantauan Institusi Akar Umbi juga bekerjasama dengan APM dalam meningkatkan kefahaman komuniti sekali gus sebagai tindak balas awal apabila menghadapi bencana di tempat mereka yang dikenali sebagai Pasukan Tindakan Kecemasan Pertahanan Awam (CDERT) Komuniti.
Beliau berkata, setakat ini terdapat empat CDERT Keluarga Malaysia yang aktif di Negeri Sembilan iaitu CDERT DUN Sikamat, Parlimen Rasah, Tampin dan Jempol.
Sementara itu, Aminuddin berkata, kerajaan negeri tidak dapat mengutip hasil penuh dan membentangkan belanjawan defisit selama dua tahun susulan berlakunya kemerosotan kutipan hasil negeri pada tahun lepas antara lain disebabkan Covid-19.
"Apabila Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan, hampir semua ekonomi terhenti sehingga menjejaskan kutipan hasil negeri. Antara aktiviti utama yang tidak dapat beroperasi adalah perlombongan, kuari serta pembinaan,” katanya.
Beliau dalam pada itu meminta pengurusan masjid dan surau di negeri ini tidak menjadikan masjid sebagai tempat berpolitik demi menjaga kemaslahatan selain tidak mahu terdapat amalan 'mandi dua kolam' sehingga boleh menyebabkan berlakunya perpecahan.
Dalam perkembangan lain, persidangan DUN juga bersetuju melantik semula Senator Datuk A Kesavadas sebagai Ahli Dewan Negara mewakili Negeri Sembilan selama tempoh tiga tahun.
Persidangan DUN ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak. - Bernama