KUALA TERENGGANU - Penggunaan air di Terengganu meningkat mendadak kepada 700 juta liter sehari, berbanding hanya 620 juta liter sehari sepanjang musim panas kali ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu (Satu), Ir Atemin Sulong berkata, keadaan itu jika tidak terkawal, boleh menjejaskan bekalan air, di samping masalah tekanan air yang rendah.
Iklan
Iklan
Menurutnya, walaupun situasi di Terengganu masih lagi terkawal dan bertahan, namun ada beberapa tempat yang mengalami masalah tekanan air rendah, disebabkan penggunaan air yang lebih daripada biasa.
"Secara puratanya, setiap rumah menggunakan 1,200 liter sehari tetapi sekarang ini menjadi 1,500 liter sehari, pertambahan 300 liter sehari bagi setiap rumah.
"Situasi ini menyebabkan air tidak cukup atau mengalami masalah tekanan air rendah ketika waktu puncak seperti awal pagi dan Maghrib di sesetengah tempat. Kawasan yang sedia ada mengalami masalah tekanan rendah, apabila pada waktu puncak, menjadi semakin rendah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Jelas Atemin, musim panas kini menyebabkan orang ramai menggunakan air dengan lebih kerap dan banyak, seperti petani dan pengusaha nurseri yang terpaksa menyiram pokok dengan lebih kerap bagi mengelakkan pokok mati.
"Jadi saya ingin menasihatkan pengguna agar menggunakan air dengan berhemah dan jangan membazir air. Apabila kita menggunakan banyak air, jiran akan terjejas. Selain itu, jika terdapat paip bocor di kawasan masing-masing, segera maklumkan untuk dibaiki,” katanya.