Rakyat Perak bimbang tahanan lolos beri ancaman

Iklan
Seramai 385 daripada kesemua tahanan yang melarikan diri telah berjaya ditangkap semula oleh pihak berkuasa. (Gambar kecil dari kiri : Ramli Ahmad, Arvend,Muhammad Nur, Mohamad Assraf,Irmalini )

IPOH - Rakyat Perak meluahkan kebimbangan mereka susulan tahanan warga asing di Depot Sementara Imigresen Relau, Pulau Pinang yang berjaya meloloskan diri pada Rabu.

Kebimbangan itu disuarakan memandangkan tahanan tersebut boleh memberi ancaman keselamatan kepada penduduk di negeri ini memandangkan terdapat beberapa lagi yang masih bebas.

Iklan
Iklan

Bagi seorang penjawat awam, Ramli Ahmad Rozali, 54, berkata, sebagai penduduk di Perak, tahanan tersebut merupakan satu ancaman yang tidak boleh dipandang ringan.

"Tambahan pula hampir raya, jadi sudah tentu kita takut nak tinggalkan rumah kerana bimbang tahanan ini boleh menyelinap masuk untuk bersembunyi,” katanya.

Iklan

Sementara itu, seorang pengusaha spa, Irmalini Amir Hamzah, 37, berkata, keadaan itu menakutkan kerana tahanan yang lolos ini boleh berada pada bila-bila masa sahaja memandangkan mereka boleh melalui jalan-jalan tikus yang ada.

Bagi seorang mahasiswa, A Arvend, 28, orang ramai perlu memainkan peranan untuk memastikan kawasan persekitaran selamat dengan meningkat tahap keselamatan komuniti.

Iklan

Katanya, Skim Rondaan Sukarela (SRS) di kawasan-kawasan perumahan boleh diaktifkan dengan membuat rondaan secara kerap bagi mengesan tahanan yang lolos.

Dalam pada itu, penduduk berdekatan Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap melahirkan kebimbangan berikutan insiden rusuhan membabitkan etnik Rohingya yang dikatakan mengancam keselamatan penduduk.

Mohamad Assraf Firdaus, 30, berkata, kewujudan depot berdekatan kawasan perkampungan yang hanya terletak bersebelahan perkampungan penduduk telah menimbulkan rasa kurang senang.

Menurutnya, penduduk dari beberapa buah kampung berdekatan antaranya Kampung Tengah Relau, Kampung Paya Semambu dan Kampung Kilang Batu telah menyuarakan rasa kebimbangan sebelum ini.

Seorang lagi penduduk, Muhammad Nur Amirul Maziduddin, 30, berkata, selama ini penduduk rasa tidak selamat dengan kewujudan depot Imigresen yang tidak jauh dari rumah penduduk.

"Kami minta kawalan keselamatan diperketat ke atas pusat tahanan agar perkara ini tidak berulang lagi,” katanya.