Isu Rohingya tiada kesudahan

Iklan
Isu pelarian Rohingya sehingga hari ini masih tiada kesudahan sehingga mengundang perdebatan dalam kalangan rakyat sendiri.

ISU pelarian Rohingya sehingga hari ini masih tiada kesudahan sehingga mengundang perdebatan dalam kalangan rakyat sendiri tatkala negara terus berdepan tri-krisis mencakupi aspek kesihatan, ekonomi dan kestabilan politik akibat Covid-19.

Ramai masih mempersoalkan pendirian kerajaan tentang penerimaan pelarian etnik ke dalam negara walaupun Malaysia tidak mengiktiraf status pelarian dan mengklasifikasikan mereka sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI) yang memegang kad Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR).

Iklan
Iklan

Dengan kata lain, Malaysia bukan Negara Pihak kepada Konvensyen Status Pelarian 1951 atau Protokol Status Pelarian 1967, sekali gus tidak mempunyai rangka kerja perundangan atau pentadbiran yang mengawal status dan hak pelarian di negara ini.

Malaysia pada 3 April 2020 ketika mula berdepan penularan gelombang pertama Covid-19 dan fasa satu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dikecam teruk oleh masyarakat antarabangsa akibat pendirian mengusir bot pelarian Rohingya kembali ke lautan terbuka.

Iklan

Apa yang dilakukan itu jelas berlandaskan undang-undang dalam menjaga kedaulatan sempadan negara daripada dicerobohi, namun tindakan itu dibidas oleh badan hak asasi manusia sebagai bercanggah dengan undang-undang antarabangsa.

Bagaimanapun, atas dasar simpati dan kemanusiaan, kerajaan telah membenarkan PATI yang memegang kad UNHCR untuk tinggal sementara di Malaysia sebelum ditempatkan di negara-negara ketiga oleh UNCHR menerusi dasar ‘satu kes ke satu kes’.

Iklan

Dan ketika bilangan warga Rohingya semakin bertambah berdasarkan kenyataan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah pada 6 Oktober tahun lalu – dianggarkan lebih 200,000 orang iaitu jumlah terbesar di Asia Tenggara, lebih 500 orang tahanan PATI lolos dari Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap, Pulau Pinang pada awal pagi Rabu.

Kejadian yang berlaku jam 4.30 pagi itu sangat mengejutkan. Dalam insiden memalukan itu, seramai 528 tahanan etnik Rohingya telah melarikan diri, yang dikatakan berpunca daripada rusuhan sehingga menyebabkan pintu blok dan besi penghadang dipecahkan.

Adakah sudah tiba masanya Malaysia menghantar pulang Rohingya ke kampung halaman mereka di Rakhine dengan kadar segera tanpa sukarela?

Berhubung soal keselamatan dan kedaifan bangunan depot tahanan milik Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), pakar keselamatan dan undang-undang sendiri menyalahkan kerajaan yang tidak bertindak lebih awal walaupun amaran demi amaran telah diberikan tentang tatacara pengawalan orang asing, namun tiada tindakan sewajarnya diambil kerajaan.

Lebih memburukkan keadaan, kesesakan di depot tahanan, layanan yang tidak betul dan tahap keselamatan yang lemah menyebabkan insiden memalukan itu terjadi.

"Saya juga tidak tahu apa KDN (Kementerian Dalam Negeri) lakukan. Bila ditanya kenapa depot tahanan tidak diselenggarakan dengan baik dan terlalu sesak, alasan yang diberikan adalah tiada duit, itu sahaja,” soal Pakar Undang-undang Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr Salawati Mat Basir.

Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap itu misalnya adalah bangunan yang disewa seperti dimaklumkan Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud sejak tahun lalu dan boleh menampung kapasiti sehingga 700 orang tahanan, dikawal dengan ketat oleh JIM dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Terdapat seramai 61 anggota JIM dan 45 anggota Rela ditugaskan di depot berkenaan, dengan seramai 15 anggota ditugaskan untuk mengawal bagi setiap giliran penugasan.

Laporan berita pada Oktober 2020 juga menyebut jumlah tahanan PATI di kesemua 14 Depot Tahanan Imigresen (DTI) di negara ini adalah seramai 15,626 orang, sekali gus melebihi kapasiti ditetapkan yang hanya mampu menampung seramai 12,530 individu.

Justeru dengan berlakunya insiden awal pagi Rabu itu, kerajaan diharap dapat membuka mata dengan lebih luas. Pertama, apakah pendirian Malaysia terhadap etnik Rohingya?

Adakah akan terus bersikap simpati demi kemanusiaan dan kedua, berhubung kait dengan penaiktarafan 14 DTI yang dilihat harus diberi keutamaan.

* Mohd Rizal Mohd Rozy ialah Penerbit Program Digital Sinar Harian