Banduan larikan diri dipercayai telah keluar Negeri Sembilan

Iklan
Laporan Sinar Harian pada 10 April lalu.

JELEBU - Seorang lagi banduan yang melarikan diri dari Institusi Pemulihan Dadah Jelebu, Jabatan Penjara Malaysia di sini pada 10 April lepas dipercayai telah berada di luar Negeri Sembilan.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Maslan Udin berkata, lelaki dikenali sebagai Muhammad Syafiq Rohmat, 32, kini dinotiskan sebagai individu dikehendaki polis dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan.

Iklan
Iklan

"Kesemua enam lelaki berumur antara 28 dan 62 tahun yang lari berjaya kami tahan semula di Jelebu baru-baru ini, tapi yang terakhir ini dipercayai telah terlebih dahulu melarikan diri dari daerah ini.

"Bagaimanapun kami masih giat kesan di mana lokasi dia berada ketika ini, berkemungkinan telah melarikan diri dari negeri ini, kami juga turut dibantu polis kontinjen lain,” katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Iklan

Sehubungan itu Maslan berkata orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian boleh menghubungi balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah Jelebu di talian 06-6136 222 atau pegawai penyiasat, Inspektor Zuria Anis Mahassan di talian 016-6096 996.

Pada 18 April lepas, enam banduan yang ditahan semula itu telah didakwa di Mahkamah Majistret Bahau, di sini atas kesalahan melarikan diri dari Institusi Pemulihan Dadah Jelebu, Jabatan Penjara Malaysia, namun kesemua mereka tidak mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Iklan

Dilaporkan siasatan polis mendapati, kejadian kira-kira jam 6 pagi pada 10 April itu berlaku di Blok Muhasabah 2, institusi berkenaan yang kesemua tujuh banduan reman terbabit ditempatkan.

Mereka dipercayai melarikan diri melalui lubang siling serta keluar melalui lubang pagar yang disyaki dipotong menggunakan pemotong besi menuju semak di belakang penjara itu. - Bernama