KUALA PILAH - Lelaki orang kurang upaya (OKU) ditemui rentung selepas rumahnya di Kampung Juasseh Tengah di sini, terbakar hari ini.
Dalam kejadian jam 2 petang itu, Zainal Abidin Ibrahim, 59, ditemui di atas lantai di dalam bilik air rumahnya dipercayai cuba selamatkan diri.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah, Eva Saifun Kamuni berkata, bomba yang menerima maklumat bergegas ke lokasi dan tiba jam 2.33 petang dengan sebuah jentera dan lapan anggota.
"Jiran yang ternampak kejadian telah hubungi bomba dan diberitahu terdapat mangsa yang terperangkap.
"Sebaik sampai, rumah itu telah terbakar 70 peratus dan api dipercayai bermula dari ruang tengah rumah namun berjaya dikawal jam 3.55 petang," katanya.
Menurutnya, ketika kejadian, mangsa tinggal bersama ibu dan anak saudara berusia sembilan tahun, namun mereka sempat keluar selamatkan diri.
Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah di sini, untuk tindakan lanjut.
"Punca sebenar kejadian dan kos kerugian masih dalam siasatan.
"Bomba difahamkan rumah itu sudah berusia lebih 50 tahun," katanya.