KUALA NERUS - Aidilfitri kali ini disambut sederhana oleh lima adik-beradik yang kematian bapa akibat penyakit kanser hati pada 20 Februari lalu.
Nor Balqis Batrisya Razak, 15, berkata, sebelum ini bapanya yang bekerja sebagai tukang rumah jatuh sakit dan disahkan mengalami kanser.
Bagi Nor Balqis Batrisya, Syawal yang bakal menjelang agak suram kerana diraikan tanpa bapanya yang meninggal dunia setelah menderita penyakit itu sejak tiga tahun lalu.
"Tak sangka tahun ini beraya tanpa ayah sebab selama ini walaupun dia sakit, hari raya tetap meriah dengan kehadiran arwah disamping kami.
"Tetapi raya kali ini ditakdirkan arwah tiada di sisi kami. Kami pasrah dan reda dengan ketentuan Ilahi," ujarnya ketika ditemui pemberita pada Program Kasih Ramadan Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) bersama anak yatim disini, pada Khamis.
Turut bersama Nor Balqis Batrisya ialah tiga adiknya iaitu Nor Balqis Baizlina, 13; Nor Balqis Ayuni, 11 dan Nor Balqis Adira, 6 sementara seorang lagi adiknya iaitu Mohd Iman Rizqi berusia 18 bulan bersama ibunya, Nor Baiti Ibrahim, 37.
Mereka merupakan sebahagian daripada 100 anak yatim dan asnaf yang diraikan EPIC dengan menerima sepersalinan pakaian hari raya selain dijamu berbuka puasa di hotel.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Ridzuan Ali berkata, sebanyak RM22,000 diperuntukkan bagi penganjuran dua program itu.
Katanya, pembelian pakaian raya dan program berbuka puasa bersama anak yatim dan asnaf itu masuk tahun ketiga dijalankan dibawah tanggungjawab sosial korporat syarikat (CSR).
Ujarnya, program kali ini mendapat kerjasama pejabat Ahli Parlimen Kuala Terengganu dan gedung pakaian di Kuala Nerus.
"Kita amat berbesar hati kerana dapat menjayakan program ini. Kita harap ia dapat membantu meringankan beban keluarga mereka yang dipilih dalam menyediakan kelengkapan menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi," katanya.