Matrix Concepts sasar jualan RM1.2 bilion menjelang 2023

Iklan
Mohamad Haslah (tengah) bersama Pengasas dan Timbalan Pengerusi Eksekutif Matrix Concepts, Datuk Seri Lee Tian Hock ketika sidang akhbar selepas acara Matrix Concepts MetaRaya Iftar pada Khamis.

SYARIKAT pemaju hartanah, Matrix Concepts Holdings Bhd menyasarkan jualan hartanah mencecah RM1.2 bilion bagi tahun kewangan 2023 (TK2023) dengan didorong oleh pengambilan yang kukuh khususnya di perbandaran utamanya, Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan.

Pengerusi Matrix Concepts, Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin berkata, dengan negara dilihat mula berada dalam fasa peralihan daripada pandemik Covid-19, syarikatnya kini bersedia untuk kembali kepada trajektori pertumbuhan yang mampan termasuk melalui projeknya di luar negara.

Iklan
Iklan

"Kami menjangkakan sumbangan pendapatan daripada pembangunan kedua di Australia yang telah habis dijual, M Greenvale, sementara usaha niaga kami di Indonesia juga berjalan lancar dengan pelaksanaan Menara Syariah yang dijadualkan siap penghujung TK2023.

"Ini akan menyokong permintaan yang semakin meningkat di perbandaran yang telah kami perolehi sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan membolehkan kami lebih optimis merekodkan prestasi tahunan lebih kukuh,” katanya ketika ditemui pemberita selepas acara Matrix Concepts MetaRaya Iftar di sebuah hotel di ibu negara pada Khamis.

Iklan

Matrix Concepts berjaya mencapai 83.2 peratus daripada sasaran jualan hartanah tahun kewangan 2022 pada suku ketiga tahun kewangan tersebut meskipun berhadapan pelbagai cabaran seperti keadaan operasi terhad dan pemulihan ekonomi domestik lebih perlahan daripada jangkaan.

Mengulas lanjut mengenai perkembangan projeknya di luar negara, Mohamad Haslah berkata, pembangunan berterusan M Greenvale di pinggir bandar Melbourne, Australia menyediakan pengiktirafan pendapatan sejajar dengan piawaian perakaunan tempatan yang dijangka siap Mei ini.

Iklan

Menurutnya, Matrix Concepts juga akan melancarkan pembangunan susulan yang dipanggil 333 St Kilda di Melbourne pada pertengahan tahun ini.

Janna Nick (empat dari kanan) ketika membuat persembahan semasa acara Matrix Concepts MetaRaya Iftar pada Khamis.

Katanya, pembangunan bercampur 12 tingkat bernilai AUD80 juta (RM 253 juta) itu akan mewakili pembangunan Australia terbesar syarikat itu setakat ini dan bakal meningkatkan populariti St Kilda sebagai destinasi pinggir bandar yang digemari di Melbourne.

Dalam pada itu, Mohamad Haslah berkata, projek usaha sama (JV) pertamanya di Indonesia yang merangkumi menara berkembar 29 tingkat iaitu Menara Syariah akan turut menempatkan pejabat premium dan podium runcit yang bakal memastikan keberadaan jangka panjang syarikatnya di negara itu.

"JV Indonesia ini akan melahirkan lebih banyak pembangunan di kawasan utama Pantai Indah Kapuk 2, iaitu sebuah perbandaran tepi laut antarabangsa di mana pembinaan Menara Syariah bernilai RM1 bilion itu sedang dijalankan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, jangkaan pencapaian projek antarabangsanya pada TK2023 adalah hasil daripada kesedaran syarikatnya untuk mempelbagaikan aliran pendapatan sebelum pandemik bermula.

"Kami telah menggambarkan cita-cita kami untuk mencatatkan pertumbuhan sejak penyenaraian dan kami percaya, walaupun banyak kejayaan telah namun kami belum lagi tiba di kemuncak.

"Kami akan mencari peluang untuk kerjasama strategik bagi mengukuhkan lagi cadangan nilai kami serta memperoleh tanah berkualiti untuk pembangunan pada TK2023 sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhan dan meningkatkan nilai pemegang saham,” ujarnya.

Pada acara tersebut Matrix Concepts turut melancarkan muzik video hari raya, MetaRaya Matrix Concepts yang bertemakan nostalgia dan perayaan masa hadapan yang turut menampilkan selebriti terkenal, Janna Nick.