KUALA LUMPUR - Kesedaran masyarakat menunaikan kewajipan membayar zakat didapati meningkat dan orang ramai mula memahami peranan mereka untuk membantu golongan yang memerlukan susulan penularan pandemik Covid-19.
Ketua Pegawai Eksekutif Pegawai Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Abdul Hakim Amir Osman berkata, sepanjang tempoh pandemik Covid-19, kutipan zakat didapati tidak merudum walaupun banyak sektor ekonomi ditutup.
"Walaupun ALLAH SWT uji kita dengan Covid-19, tetapi Alhamdulillah kutipan zakat meningkat dengan banyak," katanya kepada Sinar Harian, pada Jumaat.
Kata Abdul Hakim, MAIWP memainkan peranan besar dalam misi menyalurkan bantuan melebihi RM300 juta peruntukan tambahan bagi membantu mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19, tidak termasuk bantuan kewangan secara bulanan mencecah hingga RM13 juta.
"Apabila diuji musibah banjir besar pula, MAIWP agihkan bantuan fasa pertama sebanyak RM2.7 juta untuk bantuan segera disusuli fasa dua sebanyak RM35 juta mencakupi RM25 juta peruntukan di Wilayah Persekutuan manakala bakinya ke negeri-negeri luar yang dilanda musibah sama," kata beliau lagi.
Rentetan itu Abdul Hakim berkata, orang ramai diingatkan supaya mengesahkan kesahihan sesuatu berita mengenai kesusahan seseorang individu sebelum melemparkan kecaman terhadap pegawai zakat.
Kata beliau, orang ramai diminta upaya menyiasat kesahihan sesuatu berita sebelum menularkannya ke media sosial.
"Tindakan melulu menularkan sesuatu isu dikhuatiri membawa kepada fitnah hingga menyebabkan pembayar zakat hilang keyakinan menunaikan kewajipan tersebut.
"Saya lebih suka merujuk firman ALLAH SWT dalam Surah al-Hujurat, ayat 6 iaitu apabila mendapat sesuatu berita kena siasat jangan terus viralkan. Ada kemungkinan kita terlepas fakta dan maklumat. Jadi, kalau siasat dulu maka maklumat yang diperoleh lebih tepat berbanding terus diviralkan.
"Kena ingat perbuatan kita itu sekiranya menyebabkan orang percaya dan memberi kesan terhadap orang untuk membayar zakat, perbuatan itu jatuh fitnah dan berdosa,"
Kata Abdul Hakim, siasat dahulu sekiranya mendapat sesuatu berita dan kemukakan aduan kepada pihak bertanggungjawab untuk bantuan.
"MAIWP sentiasa cakna ke hadapan malah menyediakan peruntukan agihan sebanyak RM1.2 bilion tahun ini sedangkan kutipan yang diperoleh tidak sampai ke tahap tersebut," katanya.
Menurut Abdul Hakim, institusi zakat terletak di bawah bidang kuasa sultan di negeri masing-masing dan terdapat 14 pihak berkuasa agama menguruskannya.
"Kalau berlaku (tidak terima bantuan) di negeri-negeri saya lain tak boleh nak komen kerana ia tertakluk kepada bidang kuasa pejabat agama masing-masinhg tetapi di Wilayah Persekutuan Insha-ALLAH tidak berlaku isu seperti itu.
"Jika ada kes terlepas pandang, ia menjadi peranan masyarakat untuk sama-sama salur maklumat. MAIWP sendiri ada tubuhkan jejak asnaf untuk mudahkan orang ramai membuat laporan dan MAIWP akan turun padang membantu," katanya.