SHAH ALAM - Kerajaan sendiri tidak dapat memastikan dan keliru mengenai siapa yang membuat keputusan berkenaan pembangunan dan perolehan MySejahtera, kata Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh.
Memetik laporan The Edge Markets, beliau berkata, terdapat kekeliruan besar dalam kerajaan berhubung pelantikan KPISoft Sdn Bhd dalam membangunkan aplikasi MySejahtera sejak April 2020.
Jelasnya, sejak hari pertama, tidak ada kontrak rasmi yang dimeterai antara kerajaan dan KPISoft selain perjanjian kerahsiaan (NDA) yang ditandatangani antara Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KPISoft mengenai data yang dikumpul melalui aplikasi itu.
"Apa yang boleh saya katakan, proses perolehan tidak dikendalikan dengan baik kerana dalam keadaan biasa, kerajaan akan mengadakan rundingan terus dengan vendor atau mengadakan tender terbuka atau tender terhad.
"Di sini, kekeliruan besar ialah siapa yang membuat pelantikan dan apakah justifikasinya? Ini adalah soalan utama yang kami tanya.
"Saya rasa kerajaan sendiri keliru siapa yang membuat keputusan. Ini isu pelantikan kerajaan yang agak serius," katanya pada Khamis.
Beliau berkata demikian selepas prosiding selama tiga jam mengenai pembangunan dan perolehan MySejahtera.
PAC telah memanggil wakil daripada tiga agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri iaitu MKN, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) dan Agensi Keselamatan Siber Negara (Nacsa).
Pada 14 April, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Menteri Kewangan,Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dipanggil untuk memberi keterangan berhubung isu yang sama.
Kah Woh berkata, Putrajaya sepatutnya memuktamadkan syarat kontraknya dari awal dan bukannya merundingkan harga dengan vendor sekarang.
"Selain NDA yang ditandatangani, tiada kontrak lain yang ditandatangani selepas dua tahun (sejak aplikasi itu dilancarkan) di antara kedua-dua belah pihak. Ini adalah perkara yang paling penting.
"Sekarang kerajaan masih mengatakan mereka sedang dalam rundingan harga dengan vendor dan ini adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku sama sekali.
"Kebimbangan kami ialah mengapa kerajaan meletakkan diri mereka dalam situasi di mana mereka perlu membayar pemaju untuk MySejahtera yang sebenarnya semuanya bermula sebagai CSR (tanggungjawab sosial korporat)," jelasnya.
Selain itu, Kah Woh berkata, PAC masih belum memutuskan saksi tambahan dan boleh memanggil sesiapa sahaja selepas ini.
Jelasnya, PAC perlu meneliti dokumen dan bukti yang telah diberikan untuk memastikan sama ada mereka perlu memanggil lagi saksi untuk memberi keterangan sebelum mengeluarkan laporan akhir mengenai perolehan MySejahtera.
"Kami akan meneliti keterangan yang diberikan oleh menteri minggu lalu dan hari ini. Kami belum memutuskan sama ada untuk memanggil saksi lanjut," katanya.