SW Food kongsi rezeki sambut Syawal

Iklan
Penghuni rumah Budi di Yan gembira menerima sumbangan daripada SW Food Sdn Bhd sebagai persediaan menyambut Syawal.

ALOR SETAR - SW Food Sdn Bhd melalui Jati Foundation mengambil inisiatif untuk membantu komuniti setempat dan meringankan beban mereka menyediakan persiapan menyambut Syawal.

Pengarah Serba Wangi, Low Zhi Shi berkata, menjelang Aidilfitri yang akan disambut minggu depan, pihaknya ingin berkongsi rezeki dengan masyarakat agar semua golongan tidak ketinggalan merasai kemeriahan musim perayaan.

Iklan
Iklan

"Permintaan terhadap keperluan harian akan meningkat untuk menyediakan persiapan menyambut Aidilfitri dan sudah pasti memerlukan dana tambahan berbanding hari biasa.

"Kami mengambil inisiatif untuk bantu komuniti meringankan beban mereka dalam menyediakan persiapan perayaan,” katanya kepada Sinar Harian, pada Jumaat.

Iklan

Menurutnya, bagi memeriahkan sambutan, SW Food menghulurkan bantuan keperluan harian serta sumbangan RM4,000 terdiri daripada pek barangan makanan dan minuman termasuk duit raya kepada anak-anak yatim.

"Sumbangan diberikan kepada anak yatim dari Badan Usaha Didikan Anak Yatim Negeri Kedah (Budi) di Yan.

Iklan

"Pasukan sukarelawan turut membuat dekorasi perayaan sewaktu lawatan diadakan bersama penghuni di situ,” katanya.

Sebelum ini, ketika sambutan Tahun Baharu Cina, sejumlah RM5,000 serta barangan keperluan harian telah disumbangkan kepada Rumah Charis Shah Alam Old Folks di Sri Muda, Selangor dan Pertubuhan Kebajikan Kanak-kanak Selangor di Klang Utama.

Zhi Shi berkata, kemeriahan sambutan perayaan dan keberkatan bulan mulia perlu dikongsi dan dinikmati bersama seluruh masyarakat.

"Diharap bantuan yang diberikan dapat meringankan beban mereka yang memerlukan. Usaha berterusan SW Food sentiasa ditambahbaik pada masa akan datang,” katanya lagi.