SHAH ALAM - Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar untuk menyatakan status terkini draf Rang Undang-undang (RUU) Pendanaan Politik bagi memudahkan Kumpulan Rentas Parti Politik Malaysia (KRPPM) pendanaan politik memberi maklum balas mengenai perkara yang telah diputuskan.
IDEAS dalam kenyataannya memaklumkan, segala ketetapan dalam RUU berkenaan penting untuk dimaklumkan bagi memudahkan kumpulan itu memberi cadangan baharu jika terdapat keperluan.
"Kami secara khusus menanti untuk bekerjasama dengan Wan Junaidi dan Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) ke arah undang-undang pendanaan politik yang dipersetujui bersama supaya dapat menambah baik kebertanggungjawaban parti politik di negara ini.
"Kami ingin mengingatkan kerajaan bahawa membentangkan Akta Pendanaan Politik kekal menjadi keutamaan berdasarkan semakan semula separuh penggal Pelan Antirasuah Nasional (NACP) yang menyatakan Disember 2022 sebagai penanda satu kajian mengenai penggubalan undang-undang baharu berkaitan sumbangan dana politik dilakukan," menurut kenyataan itu pada Jumaat.
Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan, Dewan Rakyat telah meluluskan penubuhan KRPPM pendanaan politik seperti yang dicadangkan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhil Shaari.
KRPPM pendanaan politik dianggotai sembilan ahli Parlimen dari sembilan parti berbeza serta seorang Senator di samping enam organisasi masyarakat sivil (CSOs) dan dua individu pakar.
Dalam pada itu IDEAS turut berpandangan, orang ramai berhak untuk mengetahui komitmen kerajaan dalam mempertingkat ketelusan dan kebertanggungjawaban sistem politik negara ekoran Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semakin hampir.
"Kami berharap penubuhan KRPPM ini akan dapat mencetuskan semula perbincangan mengenai pendanaan politik dalam kalangan ahli Parlimen dan para Senator daripada kedua-dua belah pihak.
"Pendekatan rentas parti ini amat penting apabila memperjuangkan perkara sepenting ketelusan dalam pendanaan politik dan harapan kami adalah KRPPM akan mempercepat pembaharuan pendanaan politik di Malaysia kerana hampir tiada sebarang kemajuan berkenaan perkara ini sejak dua tahun lalu," katanya.