Tahanan lolos: Dua dalang utama ditahan, dua masih dikesan

Iklan
Wan Hassan Wan Ahmad (kanan) mengadakan sidang media mengenai tahanan lari dari Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap, dekat Bandar Baharu hari ini.

BANDAR BAHARU - Dua lelaki Rohingya yang menjadi dalang utama mencetuskan insiden tahanan lari dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap awal pagi Rabu lepas, ditahan semalam.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata suspek utama yang dikenal pasti berusia 34 tahun itu sudah tiga tahun menjadi tahanan dan sebelum ini ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen di Semenyih, Selangor manakala suspek kedua berusia 30 tahun.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, dua lagi dalang utama kes itu yang masih dikesan dikenali sebagai Muhammad Salim Nur Amin, 21, dan Mohd Yunus, 44.

"Selepas tiga hari operasi, kami kenal pasti empat individu ini yang menjadi dalang utama dan siasatan masih diteruskan serta usaha mengesan akan berjalan sehingga kesemua mereka ditemukan semula," katanya pada sidang media selepas meninjau keadaan di Bukit Thorn di sini hari ini.

Iklan

Sebelum ini, lima tahanan etnik Rohingya yang bersembunyi di bukit itu berjaya ditahan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA).

Wan Hassan juga berkata, siasatan awal mendapati punca kejadian adalah akibat daripada tahanan terlalu lama berada di dalam depot dan mendakwa kawasan itu terlalu sesak.

Iklan

Katanya siasatan masih diteruskan dan operasi mencari membabitkan pasukan udara, Unit Anjing Pengesan (K9) dan PGA dengan kekuatan 287 pegawai serta anggota polis dari Kedah, Pulau Pinang dan Perak akan diteruskan sehingga semua saki-baki tahanan etnik Rohingya yang melarikan diri berjaya ditemukan semula.

Beliau berkata setakat 5 petang ini, seramai 88 tahanan terdiri daripada 71 lelaki dewasa, sembilan wanita dewasa, seorang kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan belum ditemukan.

"Hari ini adalah operasi hari ketiga dan kami percaya mereka akan mula keluar akibat kelaparan dan itu memudahkan tangkapan dibuat.

"Orang ramai juga dinasihat untuk tidak melindungi mereka kerana boleh disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 216 Kanun Keseksaan," katanya.

Insiden pada awal pagi Rabu lepas menyaksikan sejumlah 528 warga asing terdiri daripada etnik Rohingya melarikan diri, bagaimanapun enam daripada mereka maut dirempuh kereta ketika cubaan melarikan diri di lebuh raya. - Bernama