SHAH ALAM - Program Iftar Ala Madinah @Karangkraf yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf bermula 4 April lalu telah menarik perhatian ramai pengunjung dari pelbagai latar belakang.
Program di bawah naungan Sinar Harian bersama Karya Bestari dan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) tersebut turut diserikan dengan kehadiran penyampai radio Suria FM.
Pengurus Besar dan Penyampai Radio Suria FM, Roslinda Abdul Majid atau lebih dikenali Dj Lin berkata, ia merupakan acara turun padang yang pertama dilakukan oleh pihaknya setelah dua tahun tidak dapat melakukannya akibat pandemik Covid-19.
"Kami dari Suria FM rasa sangat bersyukur, gembira dan teruja sebenarnya. Ini pengalaman pertama kami penyampai dan krew Suria Wheels berbuka puasa dengan masyarakat.
"Hari ini, kita lalui satu pengalaman baru yang mana tidak pernah dirasai sebelum ini iaitu duduk bersila ramai-ramai dan berbuka bersama.
"Ini satu keseronokan sebab kami rindu acara yang turun padang sebegini. Jadi, bila dapat turun padang ini, rasa seronok, dapat bersembang dengan orang. Memang kita rindu.
"Terima kasih kepada pihak Karangkraf kerana mengundang. Kami harap aktiviti sebegini dapat diteruskan lagi,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Dalam masa yang sama, beliau berkata, Suria FM turut memberi sedikit cenderamata eksklusif keluaran syarikatnya kepada pengunjung yang ada.
"Pada hari ini, secara eksklusifnya, kami berikan barangan cenderamata Suria FM seperti t-shirt, bag, penutup muka,” ujarnya.