Promosi Malaysia destinasi pelancongan mesra Muslim

Iklan
Semoga lebih banyak penglibatan pelbagai lapisan masyarakat dalam program World#QuranHour pada tahun ini.

ISLAMIC Tourism Centre (ITC) merupakan rakan sinergi Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dalam menjayakan World #QuranHour yang bakal berlangsung pada 26 April ini di lokasi perdana, studio TV Alhijrah, Kuala Lumpur.

Program kali ke-7 itu mengangkat surah al-Sajdah sebagai surah pilihan bertujuan mengikut model Rasullullah SAW, sekali gus memperlihatkan penglibatan ITC bertepatan dengan fokus penganjuran program berkenaan khususnya dalam bidang pelancongan Islam.

Iklan
Iklan

Ikuti temubual wartawan Sinar Harian, Diana Aziz dengan Ketua Pengarah ITC, Datuk Dr Mohmed Razip Hasan untuk mengupas dengan lebih lanjut penglibatan agensi itu dalam program World #QuranHour serta usaha mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim.

SINAR HARIAN: Apakah yang mencetuskan kolaborasi antara ITC dan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) untuk menjayakan World #QuranHour?

Iklan

MOHMED RAZIP: Al-Quran itu benar dan jelas. Alhamdulillah, World #QuranHour mempunyai kekuatan dan keunikan tersendiri dan terbukti mampu menarik minat orang Islam dari dalam dan luar negara mendekati, memahami dan mencintai al-Quran.

Mohmed Razip Hasan

Selain dari kejayaan sebagai sebuah program berciri Islamik, World #QuranHour juga sebuah platform yang ideal untuk memperkenalkan Malaysia sebagai destinasi bagi pelancong Muslim ekoran topik diketengahkan bersifat universal sekali gus ditonton oleh masyarakat yang ingin tahu tentang Islam dengan lebih mendalam. Ini adalah bersesuaian dengan peranan ITC untuk mendukung pelancongan Islam, hospitaliti mesra muslim serta menjadi pusat rujukan dalam industri ini. Oleh itu, kolaborasi ITC dan WUIF adalah tepat dan strategik.

Iklan

Bagaimana pandangan Datuk mengenai penganjuran program berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal?

Konsep baca, faham dan amal yang dibawa World #QuranHour merupakan satu usaha gigih untuk membantu umat Islam menghayati dan memahami isi kandungan kitab al-Quran sebagai petunjuk dalam membuat keputusan dalam kehidupan seharian, sama ada berkaitan bidang pekerjaan ataupun peribadi.

Sebagai penaja World #QuranHour, apakah harapan Datuk untuk memberi dan menerima manfaat daripada program tersebut?

Selaku rakan strategik World #QuranHour, ITC berharap agar program ini dapat mendidik masyarakat untuk meluangkan masa walaupun sedikit bersama al-Quran. Dengan perkembangan teknologi, al-Quran kini dapat dimiliki dalam pelbagai saiz dan bentuk, fizikal atau digital, menjadikannya semakin mudah diakses.

Dengan tema ‘Dunia Bersujud’ untuk membina"Dunia Berbudi dan Penyayang”, para peserta dari seluruh dunia berpeluang mendalami bait–bait Surah Al-Sajdah dan bermuhasabah diri, merenungkan sikap dan sifat yang boleh diperbaiki untuk membina dunia yang harmoni menerusi sikap saling menghormati antara satu sama lain.

Secara langsung juga telah mendidik masyarakat untuk berdisiplin dari segi minda dan ciri-ciri penting apabila pergi melancong dan menghayati ciptaan ALLAH. Inilah transformasi yang ITC ingin lihat.

Bagaimana pihak ITC membantu dalam menguar-uarkan World #QuranHour?

Sebagai rakan sinergi kepada pihak penganjur, ITC mengambil peranan untuk menghebahkan acara ini kepada agensi-agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan pelancongan, pejabat kedutaan negara-negara ahli Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Kuala Lumpur untuk dipanjangkan kepada rangkaian mereka.

Begitu juga dengan pejabat promosi Tourism Malaysia (TM) luar negara di ASEAN, Asia Timur, Eropah, Asia Selatan, Australia, Amerika dan Asia Barat serta perwakilan Malaysia di luar negara, rakan-rakan industri pelancongan, dan pusat-pusat pengajian tinggi. Selain itu, ITC turut membuat hebahan kepada para pengikut laman media sosial rasmi kami di Instagram, Facebook, LinkedIn dan Twitter.

Tahun ini, Misi #QuranHour membawa Surah al-Sajdah yang mengajak umat Islam untuk sujud dan patuh kepada ALLAH SWT. Bagaimana nilai tersebut boleh digarap dalam bidang pelancongan?

Surah al-Sajdah membawa tiga mesej utama yang boleh dijadikan iktibar iaitu keyakinan terhadap iman, bersujud kepada ALLAH dan menerapkan sifat merendah diri serta menghindari sombong. Sebagai umat Islam, kita perlulah yakin dengan kekuasaan ALLAH, tidak kira kesusahan yang menimpa. Apabila dikurniakan kesembuhan atau kebaikan, kita harus bersyukur dan mengelak dari bersifat sombong dengan memandang rendah orang lain yang dalam kesusahan.

Mesej Surah al-Sajdah amat sesuai diamalkan di dalam konteks pembangunan industri pelancongan tanpa mempertimbangkan kemampanan alam sekitar, seni dan budaya setempat yang boleh membinasakan bumi ciptaan ALLAH. Sekiranya pembangunan ini dijalankan dengan sifat angkuh tanpa perancangan strategik untuk keuntungan bersifat sementara, keindahan yang dinikmati pada hari ini akan hilang dan tidak akan dapat dirasai oleh generasi akan datang.

Apakah perancangan pihak ITC dalam kolaborasi bersama WUIF untuk program akan datang?

Beberapa kolaborasi antara WUIF dan ITC sedang diusahakan untuk menyemarakkan aktiviti pelancongan Islam di Malaysia, antaranya bengkel pelancongan dari perspektif al-Quran dan memperkenalkan lagi World #QuranHour, Malaysia #QuranHour dan World #QuranConvention sebagai acara yang mampu menarik perhatian umum dan para pelancong Islam ke Malaysia.

Apakah maklum balas diterima oleh rakan sinergi dalam menjayakan program #QuranHour sebelum ini dan sekarang?

Maklum balas yang diterima oleh rakan sinergi ITC untuk World #QuranHour amat positif. Rata-rata mereka tertarik dengan konsep World #QuranHour yang mampu menyatukan ummah tanpa mengambil kira perbezaan kedudukan, latar belakang, ideologi, fahaman politik mahupun ras etnik.

Apakah fokus ITC dalam mengungguli dunia pelancongan Islam?

Malaysia telah disenarai pada kedudukan pertama dalam senarai negara yang menyokong ekonomi Islam global bernilai trilion dolar termasuk sektor Pelancongan Mesra Muslim (MFT) berdasarkan Laporan Ekonomi Negara Islam Global (SGIE) 2022 yang dikeluarkan firma antarabangsa kajian strategik DinarStandard, dengan kerjasama Salaam Gateway dan disokong oleh The Department of Economy and Tourism Dubai.

ITC cenderung untuk meneruskan kedudukan Malaysia sebagai salah sebuah negara dengan ekosistem pelancongan Islam terbaik yang menjadi destinasi pilihan para pelancong beragama Islam..

Saranan dan panduan Datuk kepada orang ramai yang kini teruja untuk melancong di dalam dan luar negara pada fasa endemik ini.

Bagi yang sudah bersedia untuk melancong disaran buat kajian berkenaan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu diikuti sebelum berlepas, ketika berada destinasi dan setelah tiba di tempat tinggal masing-masing.