PERAK FC mampu menghela nafas lega selepas mendapat 'lampu hijau' Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk menyelesaikan rundingan pertukaran hak milik dengan pemilik baharu.
Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Muhammad Yunus Zakaria jelas gembira dengan keputusan MFL itu, sekali gus memberi peluang kepada pihaknya mendapat 'tambahan masa' sehingga 29 April ini.
Menurut Yunus, perbincangan membabitkan Impact Media & Communication (IMC) Sdn Bhd dan bakal pemilik baharu Perak Fc sudah berada di fasa terakhir dan perjanjian tersebut akan dimuktamadkan tidak lama lagi.
"Saya nak ucap terima kasih kepada pihak MFL kerana beri lanjutan masa supaya kami dapat memuktamadkan pengambilalihan Perak FC yang kini sudah di peringkat akhir.
"Buat masa ini, kita sedang berunding dengan tiga buah syarikat. Seperti semua sudah maklum, satunya JR Resources and Services Sdn Bhd dan dua lagi ialah syarikat telco serta syarikat minyak dan galian.
"Jadi dengan lanjutan masa yang diberikan ini, pihak kami akan cari jalan penyelesaian supaya kita dapat selesaikan perkara ini secepat mungkin,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.
Pada Khamis, badan bebas First Instance Body (FIB) meluluskan permohonan Perak FC untuk melanjutkan masa bagi memberi ruang kepada pihak pengurusan kelab itu menyelesaikan rundingan pertukaran pemilikan.
Pengerusinya, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata, kebenaran diberikan selepas pihaknya meneliti dan memperhalusi permohonan yang dikemukakan Perak FC pada 18 April lalu.
Yunus berkata, pihaknya berjanji akan memastikan pemilik baharu Perak FC itu benar-benar mempunyai kedudukan kewangan kukuh dalam memastikan kebajikan pemain, pegawai dan jurulatih sentiasa terjaga.
"Saya nak minta maaf kepada para penyokong Perak, barisan pemain, jurulatih dan pegawai kerana gagal mengemudi pasukan ini seperti yang dikehendaki atau seperti yang dijanjikan pada awal musim ini.
"Apa yang boleh saya maklumkan, kami sedang berusaha keras untuk memastikan pengambilalihan ini benar-benar dapat membantu semua orang dalam pasukan ini.
"Kami tidak akan sewenang-wenangnya melepaskan kelab ini kepada syarikat yang tidak ada masa depan. Kami janji pemilik baharu ini adalah mereka yang akan bertanggungjawab," ujarnya.
Pada 1 April lalu, Perak FC dikenakan pemotongan tiga mata kerana kegagalan melunaskan pembayaran gaji pemain dan pegawai bagi semua tunggakan setakat November 2021.
The Bos Gaurus diberi 'peluang kedua' sehingga 14 April untuk menyelesaikan masalah itu, namun masih gagal menjelaskan tunggakan gaji berkenaan sehingga dikenakan pemotongan enam mata.
Perak FC bernasib baik tidak dikenakan sebarang hukuman lebih berat sekalipun masih gagal mengemukakan dana bukti (proof of funds) kepada MFL pada 21 April - tarikh akhir ditetapkan badan pentadbir Liga-M itu.