Pengalaman berbuka puasa yang bermakna

Iklan
G Manimaran (depan, kiri) bersama beberapa rakan media pada Program Iftar Ala Madinah @Karangkraf di Kompleks Karangkraf baru-baru ini.

SHAH ALAM - Suasana berbuka puasa pada Program Iftar Ala Madinah @Karangkraf menjadi pengalaman bermakna buat Kuik Cheng Kang yang baru pertama kali berkesempatan hadir pada acara sedemikian.

Ketua Pengarang Sin Chew Daily itu berkata, aktiviti berbuka secara santai dan terbuka itu juga disifatkan sangat menarik dan dilihat berjaya memupuk kemesraan dalam kalangan pengunjung yang hadir.

Iklan
Iklan

"Ini pertama kali saya hadir ke acara berbuka sebegini. Jadi apabila dijemput saya sangat gembira kerana dapat duduk secara santai dan sederhana untuk menikmati hidangan bersama-sama.

"Makanan yang disediakan juga sangat mencukupi tanpa ada sebarang pembaziran,” katanya yang hadir bersama-sama pada Program Iftar Ala Madinah @Karangkraf yang diadakan di Kompleks Karangkraf di sini baru-baru ini.

Iklan
Cheng Kang (kiri) bersama Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub ketika Program Iftar Ala Madinah @Karangkraf di Kompleks Karangkraf baru-baru ini.

Cheng Kang juga memaklumkan bahawa beliau merancang untuk membawa ahli keluarganya ke program tersebut sekiranya ia sekali lagi diadakan pada tahun hadapan untuk membolehkan mereka menikmati pengalaman tersebut.

Dalam pada itu, pengamal media, Dr G Manimaran yang turut hadir pada program tersebut berkata, acara berbuka secara santai itu satu pengalaman baharu buatnya dan menyifatkannya sebagai sesuatu yang sangat unik.

Iklan

Beliau yang juga merupakan ahli pasukan teras Rasuah Busters berkata, program sebegini seharusnya digalakkan kerana ia memberikan peluang kepada masyarakat pelbagai kaum dan agama untuk memahami antara satu sama lain.

"Sudah tentu ini dapat mengeratkan hubungan antara kaum dan anggota masyarakat kerana hanya dengan memahami ciri, keunikan dan keindahan setiap kaum, agama dan budaya kita dapat mewujudkan persekitaran kehidupan yang lebih harmoni dan membina,” ujarnya.

Program Iftar Ala Madinah @Karangkraf yang pertama kali dianjurkan pada 2018 adalah acara berbuka puasa yang terbuka kepada orang ramai dan akan berlangsung setiap hari sepanjang bulan Ramadan kecuali Sabtu dan Ahad sehingga 29 April ini.

Orang ramai yang berminat untuk serta pada program berbuka puasa ala Madinah perlu membuat pengesahan kehadiran jam 10 pagi sehari sebelumnya dengan menghubungi sekretariat di talian 019-213 3315.