SETELAH hampir seminggu tularnya beberapa dokumen yang dipercayai minit mesyuarat pimpinan Pas, perkara tersebut dilihat masih terus hangat diperbincangkan dan diulas oleh pimpinan politik negara.
Dokumen empat muka surat tersebut yang didakwa mendedahkan pertemuan dua pemimpin kanan Pas bersama beberapa pimpinan tertinggi parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) itu antara lain membincangkan mengenai pelan atau gerak kerja untuk menjatuhkan UMNO dan Barisan Nasional.
Antara pemimpin yang telah memberikan ulasan berkenaan isu tersebut ialah Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, iaitu individu yang menurut dokumen tersebut merupakan pemimpin terlibat dalam beberapa pertemuan yang didakwa itu.
Ahmad Shamsuri pada Rabu menafikan pembabitan parti itu dalam pakatan berkenaan dan menyifatkan dokumen yang tular itu dokumen ‘sampah’.
Sementara itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan akan membuat laporan polis berhubung kebocoran dokumen yang didakwa mempunyai unsur campur tangan terhadap pertuduhan kes mahkamah yang dihadapinya.
Pada masa sama, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin pada Khamis turut menafikan adanya perbincangan dalam gabungan tersebut seperti yang didakwa dokumen tersebut.
Beberapa pimpinan parti yang terbabit turut mengulas mengenai isu tersebut pada Khamis antaranya ialah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Naib Presiden Pas, Senator Datuk Idris Ahmad.
Abdul Hadi ketika ditemui pemberita berkata, partinya tidak akan melayan isu penularan dokumen tersebut malah menyifatkan ia sebagai surat layang yang sengaja ditularkan bagi memburukkan imej Pas.
Manakala, Idris pula menganggap penyebaran dokumen tersebut sebagai cubaan untuk meretakkan hubungan antara parti Melayu di dalam negara.
Pada masa sama, Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mengulas secara ringkas mengenai isu tersebut berkata, dokumen tersebut tidak dapat dipastikan kesahihannya sama ada betul atau tidak.
Tentunya, kegagalan pimpinan parti terbabit untuk secara tegas menyatakan kepalsuan dokumen tersebut hanya akan menyebabkan isu tersebut akan terus berlarutan.
Malah, perkara tersebut juga dijangka akan memberikan kesan terhadap usaha kerjasama antara parti yang terbabit untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).