PENDANG - Pasar Tani @ Bazar MARA Jenun merupakan salah satu usaha memperkenalkan Premis MARA kepada umum.
Pengarah MARA Kedah, Yahaya Sani berkata, tarikan pasar tani dilihat akan membantu merancakkan lagi aktiviti usahawan di sekitar premis bazar MARA Jenun yang dahulunya suram kini berwajah baru dan mula dikenali.
Katanya, pasar tani yang diadakan pada setiap hari Ahad dari jam 7.30 pagi hingga 12.30 tengahari juga merupakan satu bentuk promosi kepada premis MARA itu sendiri.
"Hasil perbincangan antara MARA Kedah dengan pihak FAMA Kedah, satu program"MY Best Buy” atau Pasar Tani Percubaan, diadakan bagi melihat sambutan orang ramai di sekitar Jenun terhadap pasar tani yang diwujudkan," katanya.
Menurut Yahaya, program ini baru sahaja dimulakan pada 3 Mac lalu dan dilihat mendapat sambutan daripada penduduk tempatan melalui peningkatan jualan usahawan dari minggu pertama hingga minggu ketiga.
"Pemilihan lokasi Bazar MARA Jenun sebagai tapak pasar tani baru ini dilihat strategik kerana mempunyai akses jalan dan berada di tempat yang sesuai untuk penduduk tempatan membeli keperluan dapur.
"Penduduk akan memilih bazar ini berbanding kedai di Pekan Pendang yang terletak jauh iaitu kira-kira 18km," katanya.
Yahaya berkata, pihak FAMA menyediakan 40 lot tapak untuk usahawan berniaga yang merangkumi peniaga yang menjual hasil laut, ayam, daging, sayur-sayuran, buah-buahan, barangan runcit, gerai makanan, menjual pakaian, jualan anak/benih pokok dan juga foodtruck.
"Ruang tapak ini akan ditambah jika masih terdapat perniaga yang berminat untuk menyertai program ini.
"Manakala usahawan yang terlibat terdiri daripada usahawan yang mendaftar dibawah pasar tani FAMA dan juga usahawan MARA," katanya.
Menurut Yahaya, selain daripada jualan, terdapat juga pemeriksaan kesihatan percuma disediakan.
"Pelbagai aktiviti dirangka pada masa akan datang bagi memeriahkan lagi pasar tani ini. Kesemua ini merupakan kerjasama strategik antara MARA Kedah dan FAMA Kedah dalam membantu usahawan meningkatkan jualan dan sekali gus membantu penduduk tempatan berbelanja dengan berhemah," katanya.
Tambahnya, harga yang ditawarkan juga memuaskan dan murah berbanding harga pasaran.
"Terdapat juga jualan"Happy Hour” iaitu lelongan harga pada jam-jam tertentu seperti jualan murah jagung dari ladang kontrak," katanya.
Yahaya berkata, pihaknya sangat berharap kewujudan Pasar Tani ini dapat membantu ekonomi penduduk setempat dan memberi peluang pekerjaan serta menjana pendapatan kepada usahawan sekitarnya.
Hadir bersama Pengarah FAMA Negeri Kedah Anuar Mohamed yang berkesempatan turun padang melihat sendiri sambutan orang awam kepada program"My Best Buy”.