SHAH ALAM - Jenazah Bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Allahyarham Tan Sri Dr Ali Hamsa dijangka tiba di tanah air pada jam 3 pagi, Isnin depan.
Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan pada Sabtu memaklumkan, jenazah akan dibawa ke Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Presint 3, Putrajaya untuk penghormatan terakhir di Dewan Sheikh Daud Al-Fathoni bermula dari jam 8 hingga 9.45 pagi.
"Jenazah akan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Isnin, jam 3 pagi dan akan disembahyangkan pada jam 10 pagi di Dewan Solat Utama.
"Allahyarham akan dibawa dari Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin sejurus selepas selesai solat jenazah untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20, Putrajaya.
"Pelawat-pelawat yang akan memberikan penghormatan terakhir di Dewan Sheikh Daud Al-Fathoni, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dinasihatkan untuk tiba di dewan mulai jam 8 hingga 9.45 pagi sebelum jenazah dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Presint 20, Putrajaya pada jam 10.15 pagi,” katanya.
Allahyarham yang merupakan mantan KSN ke-13 telah kembali ke rahmatullah pada Khamis bersamaan 19 Ramadan 1443H di Hospital Dublin, Ireland.
Allahyarham Ali Hamsa memegang jawatan sebagai KSN berkuat kuasa mulai 24 Jun 2012 sehingga 28 Ogos 2018 menggantikan Tan Sri Mohd Sidek Hassan yang tamat kontrak perkhidmatan pada 23 Jun 2012.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Datuk Seri Mohd Zuki Ali menyifatkan pemergian Allahyarham di bulan Ramadan yang mulia ini merupakan satu kehilangan besar kepada negara dan perkhidmatan awam.