RAWANG - Hampir 30 penduduk Rawang berkumpul mendesak projek naik taraf Jalan Perindustrian Rawang (FT3209) disegerakan bagi mengatasi isu kesesakan trafik dihadapi mereka lebih 10 tahun.
Penduduk, Mohd Aminudin Abdul Rahman, 58, berkata, jalan satu lorong dari Kuala Garing menghala tol Rawang itu sentiasa sibuk dan perlu dilebarkan bagi mengatasi isu kesesakan.
Menurutnya, penduduk gembira apabila dimaklumkan kerajaan meluluskan peruntukan naik taraf jalan itu pada 2019 namun kecewa apabila sehingga kini tiada sebarang kerja dilaksanakan.
"Masa dengar berita tersebut kami (penduduk) gembira kerana telah lama berdepan isu kesesakan ini disebabkan berhampiran kawasan industri dan banyak sekolah beroperasi di sini.
"Kenderaan berat terlalu banyak dan jalan ini kerap berlaku kemalangan selain berbahaya terhadap keselamatan pelajar.
"Peruntukan telah diluluskan tetapi projek masih belum dimulakan menyebabkan kami sebagai penduduk tertanya-tanya akan statusnya, jadi saya harap projek ini dapat disegerakan," katanya pada sesi protes isu lalu lintas Jalan Perindustrian Rawang pada Sabtu.
Turut hadir, Penyelaras MCA Parlimen Selayang, Chan Wun Hoong.
Seorang lagi penduduk, R Gopal, 67, memberitahu, terpaksa mengelak menggunakan laluan tersebut kerana tidak sanggup tersangkut dalam kesesakan trafik lebih sejam terutama pada waktu puncak.
"Saya tinggal di sini sejak usia 13 tahun dan sehingga kini keadaan jalan masih sama. Dahulu jalan ini tidak sibuk kerana tiada pembangunan berbanding sekarang dipenuhi pelbagai projek perumahan.
"Naik taraf perlu disegerakan, aduan telah dikemukakan namun sehingga kini tiada penyelesaian," katanya.
Sementara itu Wun Hoong berkata, pihaknya mendesak Ahli Parlimen Selayang, William Leong dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat menjelaskan status terkini projek itu yang menimbulkan tanda tanya penduduk.
"Pada 19 November 2019, William umumkan dapat kelulusan RM445 juta naik taraf jalan FT3209 dan beritahu projek bakal bermula pada 2020 tapi sehingga kini tiada perkembangan.
"Pada Januari 2021, Wei Kiat beritahu, sedang dalam proses lantikan kontraktor tapi sudah setahun masa berlalu, takkan urusan tersebut belum diselesaikan lagi," soalnya.
Beliau berkata, pihaknya bersedia bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof bagi mendapatkan status terkini projek serta akan terus berusaha memastikan projek tersebut dapat direalisasikan.