KUALA LUMPUR - Malaysia berpotensi besar dalam membangunkan lebih banyak perusahaan sosial tempatan meskipun berdepan pelbagai cabaran ketika ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana konsep penjanaan impak melalui aktiviti keusahawanan sosial kini mendapat perhatian dan diiktiraf sebagai elemen penting dalam menangani permasalahan sosioekonomi semasa.
Menurutnya, keusahawanan sosial berperanan meningkatkan tahap kehidupan pelbagai lapisan masyarakat terutamanya mereka yang terpinggir dan sering tercicir daripada arus pembangunan dan program bantuan kerajaan.
"Ia juga menyediakan penyelesaian sistematik dan inovatif kepada cabaran sosial dan alam sekitar yang mendesak.
"Selain itu, dengan bantuan dan sokongan kerajaan, beberapa perusahaan sosial di Malaysia telah mencapai kejayaan sekali gus menyumbang kepada agenda pembangunan sosioekonomi negara.
"Contohnya, Helping Hands Penan Shop telah berjaya memperkasakan kaum wanita Penan dengan memberi peluang kepada mereka untuk menjana pendapatan melalui penghasilan pelbagai produk kraftangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pelancaran Rangka Tindakan Keusahawanan Sosial 2030 (SEMy2030) pada Sabtu.
Mengulas mengenai SEMy2030, Ismail Sabri berkata, dasar penting itu dibangunkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam menyediakan hala tuju nasional yang baharu kepada pembangunan keusahawanan sosial di Malaysia.
Ujarnya, SEMy2030 menggariskan lima objektif yang sejajar dengan aspirasi, strategi dan inisiatif yang ditetapkan di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, Dasar Keusahawanan Nasional 2030 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
"Bagi memastikan pencapaian objektif dan sasaran dasarnya, SEMy2030 telah membangunkan lima teras strategik, 20 strategi dan 45 inisiatif.
"Tumpuan Rangka Tindakan termasuklah membangunkan kerangka kawal selia dan tadbir urus yang efektif untuk memastikan perusahaan sosial di Malaysia mempunyai tanggungjawab dan akauntabiliti selain membina kepercayaan rakyat dan sektor swasta,” katanya.