SHAH ALAM - Kewujudan tadbir urus baik tanpa rasuah dapat dibina melalui dua faktor iaitu pembinaan karakter cemerlang anak muda dan keluarga yang sejahtera.
Presiden Universal Peace Federation (UPF), Profesor Sudesh Balasubramaniam, berkata, pihaknya percaya bahawa dua faktor itu perlu diberikan penekanan untuk diterapkan dalam sesebuah masyarakat sekiranya negara mahu bebas dari rasuah.
"Tentu sekali rasuah adalah isunya tetapi pada asasnya ia bermula daripada seseorang individu dari segi aspek personaliti, pembangunan karakter dan nilai yang diamalkan dalam perkembangan kehidupan mereka.
"Sebab itu kita kena pastikan anak muda kita didik dengan karakter untuk menjadi pemimpin, ayah dan ibu yang baik kerana hanya dengan itu sebuah keluarga yang sejahtera dapat dilahirkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Temu Mesra Rakan Gabungan #RasuahBusters yang diadakan di Kompleks Karangkraf, di sini, pada Jumaat yang turut dihadiri oleh Timbalan Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah.
Sementara itu, mengulas mengenai kesedaran bahaya rasuah dalam kalangan anak muda, Pengerusi UPF Selangor, Shanta Venugopal menjelaskan, pengalamannya terlibat secara dekat bersama anak muda memperlihatkan bahawa kumpulan tersebut sebenarnya membenci perbuatan itu.
"Bila kita bergaul dengan mereka ini dan tanya mengenai rasuah, mereka memang akan kata tidak suka rasuah dan politik. Mereka akan kata kalau dia jadi seorang ahli politik, memang mereka nak hapuskan rasuah yang berlaku ini,” ujarnya.
Bagaimanapun, Shanta berkata, terdapat sedikit perasaan pesimis dalam kalangan anak muda terhadap kebolehan mereka untuk melakukan perubahan itu kerana tiadanya perpaduan jitu antara mereka.
"Bila saya buat program di sekolah, mereka ini asing-asing. India satu kumpulan. Melayu satu kumpulan dan Cina satu kumpulan. Ini yang selalu saya lihat,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berkata, anak muda perlu diberikan peluang dan untuk melakukan aktiviti bersama-sama antaranya melalui penganjuran program membabitkan penyertaan berbilang kaum.
"Jadi bila kita kumpulkan mereka ini dalam satu tempat dan lakukan aktiviti bersama-sama, baru mereka boleh bergaul dan kenal rakan mereka yang berbilang agama dan bangsa.
"Melalui aktiviti yang dilakukan ini juga, kita sebenarnya dapat lihat bahawa, remaja ini mereka ada banyak idea untuk masa depan negara yang lebih baik,” katanya.
Jelas Shanta, program sedemikian bukan hanya boleh dilakukan di peringkat sekolah sahaja tetapi juga di taman perumahan masing-masing.