Lepaskan tembakan adalah wajar

Iklan
Abdul Latif (dua dari kanan) menunjukkan kesan lubang tembakan yang mengenai lori berkenaan.

JOHOR BAHRU - Tindakan melepaskan tembakan untuk memaksa sebuah lori yang cuba melarikan diri serta melanggar kenderaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam satu kejadian pada Khamis adalah disifatkan satu tindakan yang wajar.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, dalam kejadian yang berlaku di Lebuhraya Link Kedua, Gelang Patah itu, tindakan diambil pegawai JKDM berkenaan hanyalah kerana dia dan pasukan merasa telah diancam.

Iklan
Iklan

Justeru, katanya, adalah satu keperluan untuk pegawai bertugas itu melepaskan tembakan kerana pemandu lori berkenaan terus bertindak agresif dengan beberapa kali melanggar kenderaan jabatan.

"Tindakan itu wajar kerana lori berkenaan telah memberi ancaman, pemandu (lori) berhenti secara mengejut lalu mengundurkan kenderaan sehingga merempuh kenderaan jabatan, jadi apabila diancam ada kewajaran untuk melepaskan tembakan.

Iklan

"Difahamkan sejumlah tujuh tembakan telah dilepaskan dengan tiga kesan ditemukan, satu daripadanya turut mengena tayar belakang lori tersebut tetapi ia tidak pecah," katanya pada sidang akhbar di Manara Kastam Johor pada Sabtu.

Sebelum ini, media melaporkan pihak berkuasa terpaksa melepaskan beberapa tembakan bagi menahan sebuah lori dipercayai membawa muatan minuman keras tidak bercukai.

Iklan

Hasil pemeriksaan dalam lori berkenaan turut mendapati ia membawa muatan berupa 22,400 liter minuman keras yang dianggarkan bernilai RM284,000 dengan nilai cukai dilarikan sebanyak RM1.6 juta.

Kejadian itu turut menjadi tular menerusi sebuah video berdurasi satu minit 22 saat di laman sosial Facebook yang menyaksikan lori berkenaan sedang dikejar sebuah kenderaan kastam selain beberapa das tembakan turut dilepaskan.

Abdul Latif berkata, JKDM juga sedang melakukan siasatan lanjut berhubung kegiatan penyeludupan berkenaan selain percaya aktiviti itu sudah berlaku sejak pembukaan sempadan antarabangsa pada 1 April lalu.

"Untuk makluman juga, aktiviti penyeludupan memang berlaku seperti di Bangunan Sultan Iskandar atau Kompleks Sultan Abu Bakar. Ini sememangnya antara laluan darat yang biasa digunakan.

"Jadi kita kena jalankan siasatan lagi macam mana mereka boleh melepasi sempadan, kita juga tidak menyangkal kalau ada penglibatan pihak tertentu yang bersekongkol,” katanya.