KUANTAN - Golongan mahasiswa seharusnya diberikan peluang untuk bersuara dan menyatakan pandangan mereka, kata Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof Datuk Seri Dr Daing Nasir Ibrahim.
Beliau berkata, peluang sama juga perlu diberikan kepada mahasiswa dalam melaksanakan hak mereka untuk kebebasan bersuara dan berhimpun secara aman.
Iklan
Iklan
"Ia adalah sebahagian daripada pengalaman kampus selain memastikan ekosistem yang holistik dapat diwujudkan di universiti supaya ia menjadi medan intelektual," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Atas pendirian itu, UMP menurut Daing Nasir mengutuk apa jua tindakan keganasan terhadap mahasiswa, termasuk tindakan menyerang golongan itu, yang dilihat merosakkan nilai budi dan norma masyarakat Malaysia.
Katanya, UMP juga menyambut baik gesaan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang mendukung pendirian dan kebebasan mahasiswa selagi ia tidak bertentangan dengan undang-undang negara dan menepati peraturan universiti.
"UMP juga memberi ruang seluas-luasnya kepada mahasiswa untuk mengambil bahagian dalam perbincangan awam dan perbahasan menggunakan pelbagai platform.
"Ini termasuk menerusi program berbentuk forum, bual bicara dan perbincangan intelektual dalam melahirkan mahasiswa untuk pemimpin masa depan," katanya. - Bernama