Ibu nafi anak maut kemalangan akibat 'merempit'

Iklan
Laporan Sinar Harian 23 April 2022.Gambar kecil: Muhd Adam Danish (kiri) dan Khairul.

PASIR GUDANG - Ibu kepada seorang daripada tiga remaja yang maut dalam kemalangan di Jalan Delima, Taman Kota Masai di sini pada malam Jumaat, menafikan anaknya 'merempit' semasa kejadian tersebut.

Lily Nor Ilyana Abdullah, 40, mendakwa, semasa kejadian, arwah Muhd Adam Danish Mohd Fairu, 16, dalam perjalanan dari kedai ke kediaman rakannya di taman itu dengan menunggang motosikal jenis EX5 dan dibonceng rakannya dikenali sebagai Khairul.

Iklan
Iklan

"Tidak disangka Muhd Adam Danish dan Khairul menjadi mangsa apabila motosikal dinaiki dirempuh motosikal lain dipercayai milik remaja yang terbabit dalam lumba haram.

"Saya terkejut menerima panggilan berkaitan kejadian ini dan tidak menjangka anak saya dan Khairul meninggal dunia di tempat kejadian.

Iklan

"Mereka adalah sahabat baik dan kedua-duanya tiada kaitan dengan kumpulan remaja yang terbabit lumba haram," katanya ketika dihubungi.

Dalam kejadian jam 10.30 malam Jumaat, Muhd Adam Danish, Khairul dan seorang lagi remaja masing-masing berusia 15 dan 16 tahun maut manakala seorang lagi remaja berusia 17 tahun parah.

Iklan

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Mohd Sohaimi Ishak dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata, kemalangan itu berlaku semasa mereka menunggang motosikal telah bersaing sesama sendiri sebelum bergesel dan kemalangan.

"Akibat insiden tersebut, tiga mangsa telah tercampak di atas jalan dan terlanggar batu berumput bahu kiri jalan manakala seorang mangsa jatuh di batu berumput bahu kanan jalan," kata Mohd Sohaimi.

Mengulas lanjut, Lily Nor Ilyana terkilan dengan nasib malang menimpa anak sulungnya itu yang tidak berpeluang menyambut Aidilfitri.

"Saya sebak memikirkan hasrat saya untuk membelikan baju baharu baginya tidak kesampaian.

"Kami akan menunaikan keinginan arwah untuk pulang ke kampung iaitu akan kebumikannya di Kampung halaman di Pengkalan Chepa, Kelantan selepas selesai urusan bedah siasat di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru," katanya.

Lily Nor Ilyana berkata, arwah adalah penuntut tahun pertama di pusat latihan kemahiran GiatMara di Pasir Gudang dan menyifatkannya sebagai seorang yang bertanggungjawab.

"Sebelum kejadian dia sempat mengambil saya dari tempat niaga dan hantar pulang ke rumah. Kami sekeluarga reda dengan nasib Adam dan tabah menghadapi dugaan ALLAH ini," katanya.