SHAH ALAM - Bagi menyemarakkan lagi sambutan Aidilfitri kali ini, Agrobank melancarkan video berjudul ‘Pesan Atuk’ yang ditayangkan di semua saluran media rasmi Agrobank di Facebook, Instagram dan YouTube bermula pada Sabtu (23 April).
Filem pendek berdurasi 4 minit 48 saat itu berkisahkan tentang seorang cucu yang mengimbau memori zaman kanak-kanaknya bersama atuknya yang bekerja sebagai seorang petani dan pengusaha sawah padi.
Video Aidilfitri ini masih mengekalkan konsep kasih sayang kekeluargaan namun sangat padat dengan mesej kelestarian jaminan bekalan makanan negara di mana pentingnya untuk generasi muda meneruskan legasi sektor pertanian dan agro makanan.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, pihaknya terpanggil untuk menyuntik pesanan penuh makna mengenai kepentingan kelestarian sektor pertanian negara serta menghargai usaha para petani, penternak dan nelayan melalui video tersebut bagi memastikan semua isi rumah mempunyai makanan untuk dinikmati setiap hari khususnya menjelang Aidilfitri ini.
"Kadangkala, kita terlupa bahawa, para agropreneur ini merupakan wira yang tidak didendang, yang bekerja tanpa mengenal erti lelah agar tahap sara diri (SSL) negara yang lebih baik dapat dipertingkatkan demi untuk memastikan jaminan bekalan makanan negara kekal mencukupi untuk dinikmati bersama.
"Justeru, mengambil inspirasi konsep ini, kami berharap video Aidilfitri yang dikaryakan khas buat usahawan tani sektor pertanian dan agro makanan negara ini dapat dijadikan simbolik tanda penghargaan kami di Agrobank dan seluruh warga masyarakat untuk menghargai usaha dan kecekalan mereka dalam meningkatkan kemampanan sektor pertanian dan agro makanan negara,” ujarnya.
Tambahnya, menerusi kisah yang dipaparkan melalui video pendek itu, diharap ia dapat menarik minat masyarakat khususnya generasi muda menceburi sektor pertanian pada masa alkana datang.
"Kami di Agrobank juga berharap, menerusi kisah ini, lebih ramai generasi muda tampil menceburi sektor pertanian dan agro makanan negara dengan mengetengahkan inovasi terkini serta menyuntik elemen teknologi dalam perniagaan berasaskan pertanian agar usaha untuk berbudi kepada tanah serta produktiviti hasil pertanian dapat terus dipertingkatkan,” katanya.