SHAH ALAM- Kementerian Kewangan (MoF) dan Bank Negara Malaysia (BNM) akan terus memantau kedua-dua risiko kewangan dan bukan kewangan terhadap ekonomi negara.
Ia termasuklah ketegangan geopolitik baru-baru ini dan bagaimana ia akan menjejaskan rantaian bekalan global yang mungkin memberi tekanan inflasi yang lebih tinggi serta meningkatkan ketidaktentuan dalam pasaran pertukaran asing serta pasaran kewangan di Malaysia.
Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, memandangkan Malaysia mempunyai sebuah ekonomi yang terbuka dengan kadar pertukaran mata wang yang ditentukan pasaran, pergerakan turun naik nilai ringgit dipengaruhi oleh kedua-dua faktor global dan domestik.
"Antara faktor tersebut adalah perubahan dalam sentimen pelabur, landasan pemulihan pandemik dan dasar normalisasi di kalangan negara ekonomi maju. Penyusutan nilai ringgit secara umumnya turut mengikuti jejak penyusutan mata wang utama dan serantau.
"BNM akan terus mengukuhkan kelancaran operasi pasaran pertukaran asing tempatan dengan sentiasa memastikan kecairan yang mencukupi serta memastikan perniagaan-perniagaan boleh merancang dan menjalankan aktiviti perdagangan dan transaksi pelaburan dengan lebih yakin,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sinar Harian dalam laporan eksklusif pada Sabtu menyiarkan laporan tentang Malaysia yang didakwa telah berada dalam defisit sejak tahun 1998 pada kadar yang lebih teruk berbanding Indonesia.
Pakar ekonomi juga melahirkan kebimbangan terhadap kejatuhan ringgit yang didagangkan pada RM4.29 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika penutupan perniagaan pada Khamis.
Justeru, mereka menggesa kerajaan segera bertindak dengan cara meningkatkan keyakinan pelabur untuk menambah pelaburan dan kegiatan ekonomi.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, aktiviti dalam pasaran mata wang ringgit kekal teguh dan berdaya saing.
Setakat ini katanya, purata dagangan tukaran asing dalam pesisir harian ialah AS$12.6 bilion berbanding AS$11.3 bilion pada 2021, dengan purata turun naik 3.9 peratus (purata 2021: 4.6peratus).
"Nilai ringgit yang fleksibel akan terus memberi manfaat kepada ekonomi Malaysia dengan memudahkan pelarasan sektor luaran yang bersesuaian dan melindungi ekonomi domestik daripada kejutan global yang memberikan kesan negatif.
"Kedudukan luaran Malaysia yang kukuh, termasuk lebihan akaun semasa yang baik dan kedudukan pemiutang luaran bersih telah meningkatkan keupayaan negara dengan ketara untuk bertahan daripada ketidaktentuan dan kejutan luaran tersebut.
"Tambahan pula, asas-asas Malaysia kekal teguh seperti yang ditunjukkan oleh pertumbuhan dan daya saing eksport yang konsisten, rizab antarabangsa yang mencukupi serta trajektori inflasi yang rendah berbanding negara di rantau ini. Kesemua ini dijangka dapat terus menampan penurunan ringgit,” ujar beliau.
Jelasnya, dari segi inflasi, unjuran terkini Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menjangkakan peningkatan 5.7 peratus dalam ekonomi maju dan 8.7 peratus dalam negara yang berkembang pesat dan negara membangun.
Unjuran ini adalah 1.8 dan 2.8 mata peratusan lebih tinggi daripada unjuran pada bulan Januari.
"Bagi Malaysia, dasar kawalan harga yang dikenakan oleh kerajaan serta subsidi yang diperuntukkan untuk petroleum RON95 dan pelbagai barangan makanan akan melindungi rakyat daripada sebarang implikasi tekanan inflasi.
"Kadar inflasi Malaysia pada tahun ini dijangka berada antara 2.2 peratus hingga 3.2 peratus (2021: 2.5 peratus), iaitu lebih rendah berbanding negara lain dalam ASEAN. Jangkaan ini juga sejajar
dengan unjuran IMF, iaitu Malaysia pada kadar 3 peratus.
"Ini disokong oleh pengumuman Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) baru-baru ini mengenai kadar inflasi bagi Mac 2022 yang kekal pada kadar yang sama dengan Februari iaitu 2.2 peratus,” katanya.