SHAH ALAM - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menugaskan 1,500 Pembantu Khidmat Pelanggan (CSA) di plaza dan lorong tol sepanjang lebuh raya untuk memberi bantuan kepada pelanggan yang menghadapi masalah transaksi tol di lorong sepanjang sambutan Aidilfitri.
Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, PLUS akan menempatkan kakitangan tambahan dari ibu pejabat untuk memberikan sokongan di plaza-plaza tol utama di seluruh negara.
Menurutnya, PLUS turut memberikan tumpuan yang lebih kepada keselesaan pelanggan lebuh raya dengan meminimumkan kesesakan di semua 1,100 lorong di 94 plaza tol sepanjang lebuh raya dari 29 April hingga 9 Mei.
"PLUS juga akan memastikan kelancaran perjalanan dan keselesaan di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) bagi menampung keperluan dua juta kenderaan yang akan melakukan perjalanan pulang ke kampung setiap hari sepanjang tempoh tersebut.
"Saya ingin mengingatkan pelanggan lebuh raya untuk menjangkakan masa perjalanan yang lebih panjang ke destinasi kerana kami meramalkan kemungkinan berlaku kesesakan akibat jumlah kenderaan yang tinggi di jalan raya.
"Rancang perjalanan lebih awal dengan menggunakan Aplikasi PLUS dan juga ikuti jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang akan dikeluarkan tidak lama lagi serta menggunakan Waze dan Google Map untuk jangkaan pelan laluan perjalanan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Zakaria berkata, terdapat tiga mod pembayaran tol yang disediakan di plaza tol antaranya melalui kad Touch ‘n Go, SmarTAG serta Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).
Jelasnya, pelanggan juga dinasihatkan agar menggunakan mod pembayaran yang sama ketika masuk dan keluar dari lebuh raya untuk menggelakkan mereka terkandas di lorong tol serta memberi kesan kepada perjalanan orang lain.
"Sebagai contoh, sekiranya pelanggan menggunakan mod RFID ketika masuk ke lebuh raya melalui Plaza Tol Jalan Duta, mereka juga mestilah keluar dari lebuh raya melalui lorong RFID.
"Pastikan baki e-Wallet (bagi transaksi RFID) dan baki kad Touch ‘n Go sentiasa mencukupi untuk perjalanan mereka.
"Terdapat lebih daripada 11,000 pusat tambah nilai kad Touch ‘n Go disediakan di seluruh negara termasuk di lebuh raya, mesin ATM, stesen-stesen minyak terpilih, kedai serbaneka serta lain-lain lokasi di luar ekosistem lebuh raya.
"Selain itu, transaksi tol menggunakan RFID boleh digunakan di semua lebuh raya di Pantai Barat Semenanjung Malaysia, namun ia masih belum diperkenalkan lagi di rangkaian lebuh raya di Pantai Timur,” ujarnya.
Untuk maklumat lanjut berkenaan lokasi kemudahan tambah nilai, pelanggan lebuh raya boleh menghubungi Touch ‘n Go Careline melalui emel di careline@touchngo.com.my atau layari www.touchngo.com.my.