JOHOR Darul Ta’zim (JDT) bersedia dan tekad untuk melakukan apa yang perlu untuk menundukkan Kawasaki Frontale dalam perlawanan kedua mereka menentang Juara Liga J1 itu dalam saingan Kumpulan I, Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, pada Ahad.
Ketua Jurulatih JDT, Benjamin Mora, yang meramalkan cabaran getir untuk perlawanan esok, percaya anak buahnya akan melakukan yang terbaik untuk menang ke atas Kawasaki Frontale, terutama selepas seri 0-0 Khamis lepas.
"Kami sudah bersedia.. Saya sendiri bersedia untuk turun ke padang tapi saya tak boleh bermain.
"Pemain JDT sudah bersedia menghadapi cabaran ini. Sudah tentu saya jangkakan pasukan Jepun akan memberi tentangan sengit ekoran sejarah, budaya dan disiplin mereka, mereka akan terus melakukan yang terbaik,” katanya pada sidang media praperlawanan di sini hari ini.
Mora berkata JDT akan mengekalkan identiti pasukan yang sentiasa dahagakan kejayaan dan taktik permainan agresif dalam pertembungan esok.
"Kami akan berdepan pasukan yang sangat sukar esok dan kami akan fokus pada meneruskan evolusi JDT,” katanya.
Sementara itu, ketua jurulatih Kawasaki Frontale Toru Oniki berkata perlawanan esok penting buat pasukannya memandangkan JDT kini mendahului kedudukan dalam kumpulan dengan tujuh mata.
"Kami seri dalam perlawanan sebelum ini, jadi kami perlu menang dan inilah yang akan menjadi matlamat kami esok.
"Kami akan berusaha untuk menang dan harapnya pasukan akan mampu untuk membawa kemenangan.. dan kami harus menang peringkat kumpulan,” katanya. - Bernama