BAM bakal ubah struktur, pisahkan dengan ABM

Iklan
Mohamad Norza

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) bakal melangkah ke dimensi baharu menerusi pemisahan badan induk itu dengan Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata langkah itu akan mula dilaksanakan dalam tempoh antara dua hingga tiga bulan akan datang.

Iklan
Iklan

Katanya, BAM akan menumpukan pada tugas-tugas sebagai badan induk badminton negara manakala ABM akan bertindak sebagai pusat berprestasi tinggi badminton negara.

"Masa sudah berubah dan menuntut perubahan daripada kita iaitu dari segi prestasi jurulatih, pengarah kejurulatihan dan juga barisan pemain harus dinilai secara objektif oleh (golongan) profesional,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis BAM dan mesyuarat agung tahunan badan induk itu di sini, hari ini.

Iklan

Mohamad Norza turut menyamakan langkah itu seperti pemisahan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Katanya, menerusi pemisahan itu, segala pendapatan daripada pihak penaja akan terus disalurkan kepada ABM, selain barisan pemegang taruh dan penaja juga akan menjadi sebahagian daripada ahli lembaga atau Jawatankuasa Pemandu yang akan ditubuhkan.

Iklan

"Kami akan mengadakah perbincangan lanjut bersama Petronas kerana ia adalah akademi Petronas, kami akan cuba memanfaatkan pengalaman Petronas, contohnya dalam Formula Satu (F1), bagi memastikan persekitaran (akademi) adalah berdasarkan prestasi, petunjuk prestasi utama (KPI) dan teknologi, peralatan serta kelengkapan sukan terkini,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohamad Norza berkata, BAM akan kekal dengan tanggungjawabnya iaitu memperkasa pembangunan badminton di setiap negeri dalam usaha memastikan negara tidak ketandusan bakat dalam sukan itu.

Malah, katanya, BAM akan memberi peruntukan tambahan kepada setiap negeri supaya mereka dapat menumpukan usaha melahirkan ramai pemain berbakat untuk diserap ke ABM.

"Kita juga akan mengaktifkan semula perancangan mewujudkan ABM mengikut zon, supaya apa yang dihasilkan di ABM (sedia ada) akan dapat dihasilkan juga di bahagian lain di Malaysia,” katanya.

Tambahnya, kertas cadangan mengenai pemisahan itu akan dibawa ke Mesyuarat Khas Majlis BAM untuk disahkan. - Bernama