MANCHESTER City mengukuhkan cengkaman selaku pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas membenam Watford 5-1 di Stadium Etihad sebentar tadi.
Penyerang antarabangsa Brazil, Gabriel Jesus muncul wira apabila meledak empat gol bagi menghadiahkan tiga mata berharga buat The Citizens di laman sendiri.
Jesus memulakan pesta gol City apabila berjaya membuka tirai jaringan seawal minit keempat sebelum menyumbat gol kedua pada minit ke-23.
Berselang lima minit kemudian, Watford 'menyentap' seketika semangat City apabila memperoleh gol menerusi jaringan Hassane Kamara.
Bagaimanapun, City kembali selesa di depan apabila Rodri menghasilkan gol ketiga The Citizens pada minit ke-34.
Sebaik babak kedua bersambung, Jesus melengkapkan hatrik apabila menyumbat gol keempat City pada minit ke-49 menerusi sepakan penalti.
Jesus mengesahkan kemenangan bergaya City apabila menjaringkan gol kelima The Citizens pada minit ke-53.
Kemenangan itu menyaksikan City mengumpul 80 mata - empat mata meninggalkan pencabar terdekat, Liverpool yang akan menentang Everton di Anfield pada Ahad.