KOTA BHARU - Kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Harun yang melabelkan rakyat Kelantan yang berada di luar Kelantan sebagai kaki kelab malam adalah satu penghinaan.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dalam satu kenyataan di sini berkata, berdasarkan kenyataan tersebut, amat jelas Azhar menggolongkan seolah-olah majoriti rakyat Kelantan yang berada di luar tidak tahu tentang dosa dan pahala.
"Ucapan berkenaan dianggap keterlaluan dan boleh mencetuskan perasaan benci serta prasangka negatif rakyat negeri lain terhadap rakyat Kelantan sehingga boleh mencetuskan sentimen kenegerian,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan Azhar mengenai cadangan pendaftaran pengundi secara automatik pada pilihan raya akan datang yang sukar dibuat kerana Perlembagaan Persekutuan membenarkan seseorang mengundi di tempat mula-mula dia mendaftar sebagai pengundi walaupun mungkin tinggal di tempat lain.
Oleh sebab itulah juga, Azhar mendakwa, seramai 60,000 orang Kelantan balik ke negeri ini untuk mengundi menyokong hudud sedangkan pada masa-masa lain mereka berada di Kuala Lumpur dan pergi ke kelab malam.
"Beliau sebagai Pengerusi SPR sewajarnya lebih berhati-hati di dalam mengeluarkan sebarang kenyataan umum dan seharusnya lebih mengetahui tentang fakta sejarah Kelantan yang sinonim dengan panggilan Negeri Serambi Mekah.
"Ia menggambarkan dekatnya kita dengan kehidupan beragama. Selain itu, beliau perlu faham bahawa sesiapa sahaja berhak memilih pentadbiran Islam sebagai asas pemerintahan negeri.
"Hal itu adalah suatu perkara yang baik dan tidak sepatutnya dijadikan isu. Sekiranya ada beberapa orang yang berbuat maksiat, adalah salah mengaitkan dengan seluruh rakyat Kelantan,” katanya.
Kelmarin, Pas juga mencabar Azhar Harun melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan bertanding pada PRK Rantau selepas mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan terhadap rakyat Kelantan.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, sebagai Pengerusi SPR, Azhar tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian.