'Nak bertaubat kena bayar duit ini tidak betul' - Menteri

Iklan
Idris Ahmad

BUKIT GANTANG - Jabatan Agama Islam negeri diminta menyiasat kemunculan laman sosial yang menawarkan pakej taubat dengan bayaran RM20.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, siasatan itu perlu bagi mengesan mereka yang terbabit dengan pakej berkenaan untuk diambil tindakan.

Iklan
Iklan

"Nak bertaubat kena bayar duit ini adalah tidak betul dan jika tidak mempunyai ilmu, kita mudah ditipu orang lain.

"ALLAH suruh kita mengajar dan belajar jadi orang berilmu kerana dengan adanya ilmu, kita tidak mudah ditipu,” katanya pada sidang media pada Majlis Sumbangan Inspirasi Qaseh Ramadan dan Aidilfitri 1443 Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) kepada 70 anak yatim di Kampung Sungai Petai, Changkat Jering di sini pada Sabtu.

Iklan

Beliau diminta mengulas penyebaran iklan di laman media sosial mengenai pakej sesiapa yang ingin bertaubat dikenakan bayaran RM20.

Idris turut menggesa agensi di bawah kementeriannya seperti YaPEIM agar menyantuni golongan miskin dan tidak hanya menunggu di pejabat.

"Kita minta semua pegawai agensi yang terlibat dengan masyarakat supaya pergi mencari mereka dan biarlah kita sendiri pergi santuni mereka,” katanya.

Iklan

Beliau juga berkata, pihaknya memutuskan untuk membentuk sebuah jawatankuasa bagi membantu golongan rentan.

"Jawatankuasa itu juga mempunyai pelan tindakan bersama agensi lain supaya pengisian khidmat tersebut diberikan kepada mereka yang tinggal di situ termasuk yang terlibat dengan pusat pemeliharaan kanak-kanak,” katanya.

Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Jawatankuasa Khas Kabinet Melindungi Golongan Rentan ditubuhkan bagi melindungi kebajikan golongan rentan khususnya kanak-kanak, orang kurang upaya, wanita dan warga emas.

Idris juga berkata, Tabung Amanah YaPEIM telah membuat agihan dana sebanyak RM655.91 juta yang memanfaatkan 6.59 juta penerima sejak 1985 hingga 31 Mac tahun ini. - Bernama