Khemah besar: Bersatu belum buat keputusan

Iklan
Ahmad Faizal (tengah) menyampaikan makanan sahur kepada pelajar Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat Addin 7, Jalan Tambun, sempena program Singgah Sahur Bersama Media dan Belia Negeri Perak.

IPOH - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) belum membuat sebarang keputusan berhubung idea khemah besar melibatkan gabungan beberapa parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perkara itu memerlukan perbincangan di dalam Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu sebelum diputuskan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebarang pendirian berhubung perkara tersebut pasti akan diumumkan sendiri oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Setakat ini kita belum berbincang khemah mana yang kita nak masuk. Khemah besar atau khemah kecil terserah kepada presiden bila tiba masanya. Rakan-rakan dalam Perikatan Nasional tentu bersama kita komited terutama sekali di semenanjung ini.

Iklan

"Pas dan Bersatu sebagai rakan akrab, rakan kongsi yang akan meneruskan agenda perjuangan agama bangsa dan tanah air menolak kleptokrasi, segala bentuk kemungkaran dan salah guna kuasa ini," katanya kepada pemberita selepas ditemui pada program Singgah Sahur Bersama Media dan Belia Negeri Perak di Masjid Hajjah Puteh Mahani, Bercham Raya, di sini pada Ahad.

Pada program itu, Ahmad Faizal turut menyampaikan makanan sahur kepada pelajar Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat Addin 7, Jalan Tambun, di sini.

Iklan

Sementara itu, beliau berkata, PN akan meneruskan perjuangan demi kepentingan rakyat dan negara untuk memperbaiki imej negara yang tercalar dengan teruk sekali.

Pada Khamis, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub menggesa kepimpinan Pakatan Harapan (PH) agar tidak terus menutup ruang perbincangan bersama semua parti politik blok pembangkang menjelang PRU15 akan datang.

Menurutnya, langkah kerjasama dalam inisiatif khemah besar itu penting bagi memastikan blok pembangkang dapat berdepan dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) secara satu lawan satu.

Bagaimanapun, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dalam kenyataan menegaskan bahawa pendekatan khemah besar yang dicadangkan PH sebelum ini tidak merangkumi penyatuan atau kerjasama dengan parti-parti yang berada dalam kerajaan sama ada UMNO, Bersatu atau Pas.

Menurutnya, khemah besar yang dimaksudkan adalah soal penyatuan dan kerjasama parti-parti pembangkang bagi menghadapi PRU15.

Jelasnya, Amanah menghormati dan meraikan perbezaan pandangan pelbagai pihak mengenai pendekatan khemah besar sebagai pendekatan politik Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi PRU15, namun kefahaman tepat perlu sebelum perbincangan diadakan.