SEREMBAN - Bekas anggota kumpulan Raihan, Nazrey Johani kini sibuk mengumpul dana untuk pembinaan semula Al Tahfiz Bayu Syahadah di Kampung Bitoon, Ranau, Sabah yang telah rosak teruk selepas berlaku kejadian pergerakan tanah November lalu.
Pusat tahfiz di bawah kelolaannya itu memerlukan dana RM6 juta dan sangat memerlukan sumbangan orang ramai.
Menurut Nazrey, kejadian itu menyebabkan seramai 30 pelajar berusia antara 13 tahun hingga 17 tahun di situ terpaksa meneruskan pengajian di pusat tahfiz lain.
"Bila berlaku pergerakan tanah, sekitar bawah bangunan madrasah itu mula mendap, lantainya pecah dan rosak teruk.
"Jadi demi keselamatan anak-anak, kami hentikan operasi pendidikan tahun ini dan kini dalam usaha mengumpul dana untuk pembinaan baharu," katanya ketika ditemui pada program Iftar Amal Mualaf di Masjid Datuk Klana Petra Lela Mohd Yusof di sini pada Sabtu.
Ditanya perkembangan terkini, Nazrey berkata, beliau sempat membuat rakaman sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) melibatkan tiga buah lagu yang pernah popular ketika bersama Raihan.
Jelasnya, ia sebagai memenuhi permintaan peminat dan pada masa sama turut mengharapkan dia kembali bersama Raihan.
Bagaimanapun, beliau memberitahu tidak mungkin kembali bersama Raihan lagi kerana tidak dapat memberikan komitmen sepenuhnya namun mengakui bersedia untuk bekerjasama demi kebaikan dakwah.
"Saya memperuntukkan hidup saya untuk berdakwah di Sabah tapi karier seni saya tetap berjalan seperti biasa.
"Saya juga baharu siap rakam enam buah zikir dengan kerjasama sebuah syarikat sahabat saya," katanya.
Meskipun tidak lagi bersama Raihan, namun Nazrey tidak pernah terfikir untuk menubuhkan kumpulan baharu sebaliknya lebih selesa bergerak solo.
"Saya lebih selesa sendiri. Nak buat kumpulan baharu ini bukannya mudah, banyak kerjanya terutama nak cari keserasian menyanyi.
"Nak dapat kepakaran menyanyi seperti Raihan ini juga susah dan bukan senang mahu mengajar orang menyanyi," katanya.
Ujarnya, perkara paling penting ialah keikhlasan bergelar pendakwah dalam bidang hiburan dan bukannya sekadar mengejar popular semata-mata.