KUALA NERANG - Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun cedera di bahagian muka dan dadanya akibat terkena percikan meriam karbaid di Kampung Ulu, Padang Sanai dekat sini.
Mangsa, Muhammad Hafiz Daniel Abdullah melecur hampir keseluruhan bahagian muka dan dada dalam kejadian kira-kira jam 7 malam pada 13 April lalu, bagaimanapun telah mendapat rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar pada hari kejadian.
Akibat kejadian tersebut, murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Kampung Palas, dekat sini turut mengalami kecederaan pada telinga kiri selain bulu kening dan rambut turut disambar percikan api mercun buatannya itu.
Menceritakan detik tersebut, Muhammad Hafiz yang bermain seorang diri kira-kira 50 meter dari rumahnya berkata, kejadian berlaku dengan pantas dan bahagian muka serta dada terasa sangat panas sebaik disambar percikan api itu.
"Sebelum kejadian, saya isi karbaid berserta air di dalam paip PVC lebih kurang setengah jam. Saya kemudiannya mencari pemetik api untuk melihat keadaan karbaid sama ada sudah menggelegak ataupun tidak.
"Sebaik saya memetik pemetik api, api menyambar karbaid yang berada di dalam paip PVC sebelum meletup dan merecik ke arah muka dan dada. Saya terus berlari ke arah rumah untuk meminta tolong keluarga," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Ulu, Padang Sanai di sini pada Ahad.
Jelas Muhammad Hafiz, keinginan untuk mencuba bermain mercun itu timbul selepas melihat remaja di sekitar kampung turut bermain meriam karbaid yang akhirnya membawa padah kepada dirinya sendiri.
"Semasa percikan meriam karbaid berlaku, saya sempat pejamkan mata. Selepas kejadian sehingga kini mata masih rasa tidak selesa. Saya sudah serik untuk bermain meriam karbaid," ujarnya.
Sementara itu, ibu mangsa, Nurul Hafizah Husin, 31, berkata, kecederaan dialami anak sulung daripada dua beradik itu kini beransur pulih dan bakal menjalani satu pembedahan untuk menampal kulit di bahagian dadanya.
Jelasnya, Muhammad Hafiz dimasukkan ke dalam wad HSB selama dua hari untuk pemantauan doktor dan dibenarkan pulang selepas kecederaannya semakin pulih.
"Dia akan menjalani satu pembedahan menampal bahagian dada dengan mengambil kulit di bahagian badan lain kerana keadaan kulit dadanya yang sangat nipis dan tarikh akan diberitahu oleh pihak hospital.
"Saya bersyukur tak ada kecederaan serius berlaku seperti dalam kejadian letupan mercun yang boleh mengakibatkan mangsa hilang jari," katanya.
Katanya, dia sekeluarga berharap kejadian ini akan menjadi pengajaran buatnya dan juga orang lain
"Tempat yang cedera semakin baik selepas berulang alik ke hospital beberapa kali untuk mencuci bahagian yang luka dan melecur," ujarnya.