KEMAMAN - [DIKEMAS KINI] Seramai 709 bekas pekerja Perwaja Steel Sdn Bhd mendapat pampasan setelah mereka ditamatkan perkhidmatan pada November 2014.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setiap bekas pekerja itu menerima bayaran antara RM3,000 hingga RM21,000 seorang.
"Setelah lebih tujuh tahun kes mereka dibicarakan di mahkamah, akhirnya ia diselesaikan dengan pemberian pampasan secara keseluruhan sebanyak RM8.645 juta," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Pampasan Bekas Pekerja Perwaja di Dewan Pejabat UMNO Bahagian Kemaman di sini pada Ahad.
Ismail Sabri turut mengambil peluang menyampaikan bayaran pampasan tersebut kepada 20 penerima.
Sementara itu seorang penerima, A Ghani Ismail, 62, dari Kampung Paya Berenjut meluahkan rasa syukur dengan bayaran pampasan tersebut selepas tujuh tahun berjuang mendapatkan hak.
Dia yang mendapat jumlah pampasan sebanyak RM21,000 turut menganggap bayaran tersebut sebagai rezeki Aidilfitri yang akan disambut tidak lama lagi.
"Terima kasih kepada semua pihak yang membantu menuntut hak kami," katanya yang bekerja selama 30 tahun sebagai penyelia stor di Perwaja Steel sebelum diberhentikan.
Wan Amiriah Wan Endut, 50, pula berkata, bayaran pampasan tersebut dapat digunakan untuk membeli kelengkapan menyambut Hari Raya Aidilfitri dia sekeluarga nanti.
Menurut Wan Amiriah yang bertugas sebagai penyelia stor selama 20 tahun di syarikat tersebut, pampasan berkenaan juga sedikit sebanyak mampu meringankan beban ditanggung.
"Ketika diberhentikan kerja dulu, saya terpaksa menanggung hutang yang banyak sehingga disenarai hitam oleh bank.
"Namun alhamdulillah akhirnya perjuangan kami berjaya dan syukur dengan bayaran pampasan ini," katanya yang mempunyai seorang anak berusia 11 tahun.