SHAH ALAM - Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mempersoalkan penggunaan perkataan ‘rilis’ dalam iklan yang didakwa merosakkan bahasa Melayu.
Menurutnya, penggunaan perkataan itu dalam iklan berkenaan dilihat merosakkan khazanah bahasa Melayu.
Tambahnya, iklan tersebut dipaparkan di papan iklan bergerak di Bangunan Lembaga Getah Malaysia, Kuala Lumpur yang merupakan laluan umum paling sibuk di Malaysia.
"Saya terkejut tadi di papan iklan bergerak atau papan iklan 3D di bangunan Lembaga Getah Malaysia berkenaan iklan HALO.
"Dia punya sari kata tertulis ‘Rilis pada hari yang sama dengan Amerika Syarikat (AS)', 'rilis' ini bahasa apa, rosak bahasa Melayu.
"Macam mana iklan yang dipaparkan di khalayak umum antara laluan yang paling sibuk di Malaysia depan KLCC digunakan adalah bahasa Melayu yang salah. Yang merosakkan khazanah kita,” katanya menerusi perkongsian video di Facebooknya pada Ahad.
Dalam pada itu, beliau berkata, akta bahasa perlu diperkenalkan supaya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dapat menegur dan mengambil tindakan kepada perosak bahasa.
"Sejak bila DBP ada dan meluluskan istilah ini. Kenapa tidak gunakan perkataan ‘ditayangkan’ sahaja.
"Memanglah panjang tetapi itulah bahasa kita, Rilis ini tidak ada sebarang akar bahasa tidak ada sebarang punca dalam kamus.
"Jadi ini masalah kita, harap akta bahasa diperkenalkan untuk ada sedikit kuku dan taring buat DBP tegur dan ambil tindakan kepada perosak bahasa,” ujarnya.