KUALA LUMPUR - Faktor cuaca dan angin bukanlah punca berlaku insiden seorang para peluncur maut selepas payung terjun dikendalikannya hilang kawalan dan merempuh sebatang pokok di Bukit Batu Pahat, Kuala Kubu Bharu, pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superitendan Arsad Kamaruddin berkata, insiden itu berlaku dipercayai berpunca daripada masalah teknikal yang belum dapat dikenal pasti sehingga mengakibatkan mangsa tersangkut di atas pokok pada ketinggian 12.19 meter.
"Siasatan awal polis mendapati mangsa membuat terjunan dua kali pada hari sama semasa kejadian dan siasatan lanjut mendapati kejadian itu tiada unsur jenayah. Polis juga telah membuka satu kertas siasatan yang diklasifikasi sebagai mati mengejut,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Pada Sabtu, Mohammad Farhad Khalid, 44, maut selepas mengalami kecederaan ketika melakukan aktiviti luncur udara di Bukit Batu Pahat, Kuala Kubu Bharu.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada 4.56 petang dan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu bergegas ke lokasi.
Bomba mengambil masa selama dua jam untuk menurunkan mangsa dari Subang Jaya itu berikutan ketinggian dan lokasi pokok berkenaan.
Beberapa Orang Asli yang berada di lokasi kejadian terlebih dahulu memanjat pokok berkenaan dan mengikat mangsa menggunakan tali payung terjun bagi mengelak lelaki itu terjatuh.
Bagaimanapun, Mohammad Farhad disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan. - Bernama