KPWKM wujud jawatankuasa khas tangani gelandangan

Iklan
Siti Zailah

KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mewujudkan satu jawatankuasa khas dalam membantu menangani isu melibatkan golongan gelandangan.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, jawatankuasa tersebut melibatkan pelbagai kementerian.

Iklan
Iklan

Menurutnya, jawatankuasa tersebut akan membantu menyelesaikan pelbagai isu dan keperluan dari segi tempat tinggal, kebajikan, keselamatan dan kesihatan golongan berkenaan.

"Jawatankuasa ini melibatkan KPWKM, Kementerian Wilayah Persekutuan, Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Iklan

"Kita akan bergabung dengan pelbagai agensi untuk meneliti isu atau perkara yang boleh dibantu,” katanya pada Isnin.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Semarak Kasih yang dianjurkan di Pejabat Agung Pas pada Isnin.

Iklan
Siti Zailah ketika menyampaikan bantuan dalam Program Semarak Kasih yang dianjurkan di Pejabat Agung Pas pada Isnin.

Mengulas lanjut, beliau berkata, antara program yang dilaksanakan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) adalah memberi peluang kepada gelandangan untuk kembali bekerja.

"Dengan kerjasama KSM, program bantuan di bawah Penjana membantu gelandangan yang pernah bekerja mencari pendapatan semula.

"Yayasan Kebajikan Negara pula akan membantu mendapatkan maklumat gelandangan menerusi pendaftaran yang dilakukan," katanya.

Tambahnya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pula menganjurkan program pertanian supaya gelandangan dapat melupakan budaya negatif dan mempunyai kemahiran.

Selain itu katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan bantuan kepada warga emas yang tidak mampu bekerja.

"Bagi yang mampu, kita berikan kemahiran dan sebagainya.

"Ada juga kerjasama bersama Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih untuk memberi pendidikan kepada anak gelandangan,” ujarnya.

Menurut beliau, menjadi tanggungjawab semua kementerian dalam menyelesaikan masalah gelandangan,.

"Bukan semata-mata KPWKM, ia melibatkan banyak kementerian. Apabila kita bekerjasama, yang berat akan jadi ringan.

"KPWKM hanya sebagai pemudahcara dalam membantu golongan gelandangan. Jadi, tanggungjawab ini tanggungjawab bersama,” katanya.