KANGAR - [DIKEMAS KINI] Kabinet tidak mempunyai halangan untuk membenarkan perbincangan mengenai penanaman ketum dan hem bagi tujuan perubatan, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin.
Beliau berkata, 'lampu hijau' daripada kabinet itu suatu berita baik bagi golongan yang terlibat dalam bidang perubatan.
Katanya, sebagai langkah awal pihaknya akan berbincang dengan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengenai kelulusan tanaman itu.
"Bagaimanapun saya ingin ingatkan ini bukan lulus untuk minum air ketum sebaliknya untuk tujuan perubatan, masyarakat jangan salah faham," katanya ketika ditemui pada Program Nilai Setitik Darah 10.0 di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini pada Ahad.
Zahidi yang juga Ahli Parlimen Padang Besar berkata, permintaan ketum dan hem di pasaran antarabangsa sangat tinggi di mana terdapat tiga negara yang menjadi pengeluar hem.
"Jika Malaysia jadi negara yang keempat, pasarannya sangat besar dan pendapatan yang kita dapat juga sangat tinggi.
"Satu ekar (0.41 hektar) hem pendapatannya lebih RM3,000, kalau 4.047 hektar (10 ekar) kita tanam pendapatan boleh cecah RM30,000," katanya.
Pada 12 April lalu, Kaukus Medical Cannabis yang dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi membincangkan isu-isu dasar berkaitan industri hem, ganja untuk tujuan perubatan dan ketum untuk kegunaan di Malaysia.
Menurut kaukus berkenaan, semasa pertemuan itu Perdana Menteri telah memberi respons positif terhadap isu-isu yang dibangkitkan dan isu-isu berkenaan akan diperhalusi pada mesyuarat kabinet.