300 pusat tahfiz beroperasi tanpa lesen di Selangor

Iklan
Mohd Zawawi selepas program Ijtimak Huffaz Selangor ke-15 di Dewan Muzakarah, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini pada Ahad.

SHAH ALAM - Sekitar 300 pusat tahfiz di Selangor masih belum mendaftar untuk mendapatkan lesen operasi institusi berkenaan setakat ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, pusat tahfiz itu masih belum menghantar permohonan untuk pemutihan bagi mendapatkan lesen berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pengusaha pusat tahfiz gagal mendapatkan lesen operasi kerana tidak memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) walaupun taklimat diberikan kepada pemilik institusi terbabit.

"Taklimat diberikan oleh PBT, tapi yang menghantar permohonan untuk pemutihan dan semakan tentang kepatuhan kepada syarat-syarat yang ditetapkan, ia masih belum dipatuhi sepenuhnya.

Iklan

"Mungkin institusi tersebut ada faktor kekangan kewangan dan isu lain, yang saya kira Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) dapat membantu untuk mengenal pasti masalahnya.

"Kita akan dapat satu mesyuarat selepas Aidilfitri ini untuk mengenal pasti (isu) atau mendapatkan perkembangan tentang tindakan yang akan diambil," katanya selepas program Ijtimak Huffaz Selangor ke-15 di Dewan Muzakarah, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini pada Ahad.

Iklan

Bagaimanapun katanya, kerajaan Selangor turut bersetuju untuk melanjutkan tempoh penghantaran permohonan lesen operasi pusat tahfiz sehingga 31 Disember tahun ini.

Ujarnya, keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira kemungkinan institusi berkenaan yang berdepan pelbagai kekangan semasa pandemik Covid-19.

"Kita lanjutkan (tempoh penghantaran permohonan lesen) kerana mungkin mereka berdepan kekangan pandemik Covid-19.

"Jadi mereka perlu lebih masa untuk memenuhi tuntutan syarat yang ditetapkan," katanya.