KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjalankan penguatkuasaan berterusan terhadap warga asing yang menjalankan aktiviti perniagaan di Kuala Lumpur termasuk sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur (PBKL).
Unit Media DBKL dalam satu kenyataan berkata, pemantauan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) dilaksanakan secara 24 jam di PBKL dan sekitarnya bagi membendung aktiviti penjajaan oleh warga asing.
Menurut kenyataan itu, sitaan barang jualan dilakukan serta merta ke atas penjaja warga asing dan barangan tersebut tidak boleh dituntut sebaliknya akan dilupuskan.
"Sepanjang 2021 sebanyak 7,970 tindakan sita terhadap barangan penjaja warga asing telah dilaksanakan manakala bagi tahun ini ( antara Januari hingga April) sebanyak 6,932 tindakan sita dilakukan.
"Tindakan penguatkuasaan ini dilaksanakan di bawah peruntukan Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016," katanya menerusi kenyataan pada Ahad mengulas isu monopoli warga asing sekitar PBKL seperti dilaporkan oleh sebuah media yang tular di media sosial.
Jelas kenyataan itu, DBKL hanya boleh mengambil tindakan terhadap barangan penjaja warga asing yang didapati menjalankan aktiviti perniagaan tanpa kebenaran.
"Tindakan mengawal kemasukan, pergerakan dan menahan warga asing yang menyalahi peraturan adalah di bawah bidang tugas dan tanggungjawab Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
" Walau bagaimanapun, DBKL sentiasa bekerjasama dengan agensi sahabat yang lain termasuk JIM bagi memastikan penglibatan warga asing dalam aktiviti perniagaan di sekitar Kuala Lumpur dapat dibanteras," katanya.
Tambah kenyataan itu, orang awam dinasihat memberikan kerjasama dengan tidak membeli barang keperluan daripada warga asing kerana aktiviti perniagaan yang dijalankan itu tidak mempunyai kebenaran.
Kata kenyataan itu lagi, warga kota diminta menyalurkan maklumat mengenai aktiviti perniagaan oleh warga asing kepada DBKL menerusi Sistem Pengaduan Awam Kuala Lumpur (ADU@KL) di pautan pantas https://adukl.dbkl.gov.my.