ACL 2022: Kawasaki Frontale pintas JDT

Iklan
Antara aksi menarik perlawanan JDT-Kawasaki Frontale di Stadium Sultan Ibrahim pada Ahad. - Foto Johor Southern Tigers

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) terpaksa melepaskan status pendahulu Kumpulan I Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2022 selepas dijinakkan Kawasaki Frontale 5-0 dalam perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim pada Ahad.

Tampil dengan misi melakar keputusan positif selepas mengikat lawan sama tanpa jaringan sebelum ini, anak buah Benjamin Mora dikejutkan terlebih dulu menerusi gol Yasuto Wakizaka pada minit ke-14'.

Iklan
Iklan

Gol itu ternyata membarakan semangat para pemain pendahulu Liga 1 Jepun (J1 League) asuhan Toru Oniki tersebut apabila Yu Kobayashi pemain kelahiran Tokyo berusia 34 tahun tampil meledak dua lagi gol pada minit ke-31' dan 43' untuk mendahului babak pertama 3-0.

Pendahulu Liga Super tersebut kembali memperkemaskan permainan pada babak kedua mula mengasak dan melakukan beberapa percubaan menerusi rangkaian serangan ke kubu Azzurro Nero.

Iklan

Namun anak buah Oniki yang mula mengendurkan serangan menambah jaringan menerusi Marcinho (81') sebelum gol minit ke-88 bintang Thailand, Chanathip Songkrasin kelahiran Sam Phran menoktahkan pesta gol Kawasaki Frontale.

Kemenangan bergaya anak buah Oniki menyaksikan kelab Jepun itu kini memimpin kumpulan dengan lapan mata selepas mengharungi empat perlawanan lebih satu mata mengatasi JDT kedua diikuti Ulsan Hyundai ketiga dengan tujuh mata dan Guangzhou tanpa sebarang mata.

Iklan

Sementara itu, Ulsan Hyundai meneruskan momentum positif apabila menewaskan Guangzhou FC, 5-0 dalam perlawanan di Stadium Tan Sri Dato Hj Hassan Yunos.

The Tigers kendalian pengendali Hong Myung-bo membuka jaringan menerusi Yun Il-Lok pada minit keempat untuk mendahului babak pertama perlawanan.

Pada babak kedua, kelab Korea Selatan itu terus menambah asakan ke atas South China Tigers pimpinan Yonghe Pan yang akhirnya menjelmakan empat lagi gol.

Jaringan Márk Koszta (54'), Valeri Qazaishvili (64'), Jun Amano (73') dan Seol Young-woo (73') melengkapkan kemenangan memberangsangkan Ulsan yang menang 3-0 dalam perlawanan sebelum ini.