Jualan daging mentah melonjak

Iklan
Proses pemotongan daging menggunakan mesin pemotong.

SHAH ALAM - Permintaan daging lembu dan kerbau tempatan meningkat sehingga 50 peratus menjelang Hari Raya Aidilfitri bagi tahun ini.

Pengusaha ternakan kerbau, Asaruddin Zolkepli, 37, berkata, sehingga kini penjualan daging berkenaan mendapat permintaan tinggi iaitu lebih daripada 100 kilogram (kg) berbanding tahun sebelum ini.

Iklan
Iklan

"Untuk hari raya kali ini, saya sudah menerima tempahan sehingga 100kg dengan anggaran tujuh ekor kerbau yang akan disembelih nanti.

"Dalam minggu ini juga, orang dah boleh balik ke kampung, jadi memang akan meningkat sehingga 30 hingga 50 peratus,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Iklan
Asaruddin

Jelas Asaruddin, bilangan pembeli masih sama cuma kuantiti daging yang dibeli meningkat lebih-lebih lagi mereka yang pulang beraya.

"Kalau tahun lepas, mereka hanya menempah dua hingga tiga kilogram sahaja sebab Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), orang tidak boleh balik.

Iklan

"Kali ini mungkin ada yang tempah tujuh hingga 10kg.

Lagi-lagi saya jual dengan harga sama seperti tahun lepas iaitu RM35, jadi permintaan itu banyak,” ujarnya.

Muhammad Nur Firdaus

Sementara itu, Muhammad Nur Firdaus Zulkifli, 27, berkata, walaupun harga meningkat sedikit berbanding tahun-tahun sebelum ini, namun ia tidak mempengaruhi permintaan.

"Sebelum ini harga RM35, tahun ini naik sedikit RM36 dan kami mula menjual pada Khamis, Ahad serta yang terakhir Isnin sebelum raya.

Pembeli sentiasa ada walaupun harga naik sedikit sebab mereka faham.

"Anggaran dalam 10 ekor untuk raya kali ini dan empat daripadanya kami standby hari Isnin sebelum raya, itu sebab memang akan habis,” ujarnya.

Suhaimi

Selain itu, Pengusaha daging lembu, Suhaimi Hamid, 50, berkata, dia menjangkakan lebih 15 ekor lembu akan dijual pada kali ini dengan 200kg hingga 300kg.

Dia bagaimanapun berkata, harga yang dikenakan lebih mahal berbanding pengusaha lain kerana daging yang dijual lebih berkualiti.

"Saya jual kepada pelanggan 100 peratus daging segar, kualiti A, daging premium dengan harga RM48 hingga RM55 sekilo.

"Slogan kami pun kepuasan pelanggan adalah keutamaan kami, walaupun harga agak tinggi sebab potongan daging cantik, segar jadi kualiti ini yang orang cari.

"Bagaimanapun, peningkatan permintaan kali ini kita tidak boleh agak sebab daging premium, kualiti terbaik jadi orang akan datang kalau nak daging seperti ini,” jelasnya.

Rozi

Penternak kerbau, Rozi Mohd Sharif, 54, berkata, permintaan daging kali ini lebih tinggi dan melebihi anggaran yang dijual sebelum ini.

"Saya jual di kawasan kampung sahaja kira macam pasaran kampung dalam anggaran 200kg, harga RM38 kalau sekarang sebelum ini saya jual RM32 sebab ada yang jual RM40 saya ambil bawah daripada orang lain.

Walaupun dengan harga seperti ini orang memang ramai akan membeli.

Penjual membuat persediaan dengan menambah bilangan kerbau dan lembu bagi bekalan daging segar untuk persiapan menyambut Aidilfitri nanti.

"Tahun ini memang ramai, dan tidak cukup sebab macam di sini orang memang nak daging kerbau berbanding lembu,” katanya.

Pada masa sama, Kamaruddin Abdul Hamid, 53, berkata, ada dalam kalangan pelanggan mereka sudah membeli sejak awal Ramadan bagi bekalan daging hari raya.

"Selepas dua minggu puasa ini peningkatan itu semakin ketara berbanding tahun-tahun sebelum ini.

"Malah dua minggu terawal pun mereka dah mula membeli, saya ingatkan beli untuk makan berbuka dengan keluarga tetapi untuk stok hari raya.

"Jadi peningkatan itu agak ketara, kalau saya jual 10 ekor memang habis sehari sebelum raya atau dua hari sebelum raya memang akan habis,” katanya.

HARGA SEMASA DAGING LEMBU/KERBAU

Daging - RM35 hingga RM 38

Batang Pinang - RM40

Daging cincang - RM32

Tulang rusuk - RM34

Tulang - RM32

Barang dalam - RM35

* Anggaran harga bagi setiap 1kg