1 juta kenderaan dijangka masuk Negeri Sembilan Aidilfitri ini

Iklan
Polis menjangkakan sebanyak satu juta kenderaan akan memasuki Negeri Sembilan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini. - Gambar hiasan

NILAI - Polis menjangkakan sebanyak satu juta kenderaan akan memasuki Negeri Sembilan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Sembilan, Superintendan Shafiei Muhammad berkata, peningkatan kenderaan itu disebabkan masyarakat dapat pulang menyambut hari raya di kampung selepas dua tahun tidak dapat beraya akibat pandemik Covid-19.

Iklan
Iklan

"Kebiasaannya jumlah trafik di Negeri Sembilan sekitar 77,000 sehingga 100,000 kenderaan saja, tapi bila hari raya ini boleh mencecah sehingga satu juta kerana anak-anak pulang beraya.

"Dua tahun tak dapat balik beraya, kali ini macam kejutan, semestinya akan berlaku kesesakan luar biasa dan saya jangka 29 April ini kenderaan sudah mula meningkat," katanya kepada media ketika ditemui pada Program Jelajah Pra Op Selamat 18 Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bersama Petronas Zon Selatan di Petronas Nilai Impian, di sini pada Ahad.

Iklan

Menurutnya, seramai 250 pegawai dan anggota polis terlibat sepanjang 10 hari Ops Selamat 18 yang bermula 29 April ini.

Shafiei (tiga dari kanan) menyerahkan cenderahati kepada orang ramai yang mengunjungi stesen minyak di Petronas Nilai Impian.

Bagaimanapun katanya, jumlah itu dijangka akan bertambah mengikut keperluan.

Iklan

"Terdapat 12 lokasi hitam dicatatkan di negeri ini antaranya Kilometer 1-2, Jalan Tampin-Seremban, Kilometer 14 hingga 22, Jalan Seremban - Kuala Pilah dan Kilometer 5 hingga 9, Jalan Bahau-Kemayan.

"Selain itu terdapat 19 lokasi panas dicatatkan di negeri ini antaranya Jalan Ulu Bendul - Terachi - Pekan Kuala Pilah, Jalan Rasah di Seremban dan Kilometer 5 hingga 7, Jalan Pantai di Port Dickson," katanya.

Sementara itu katanya, dalam tempoh 1 April hingga 23 April ini, sebanyak 11,606 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan dalam 139 operasi dilakukan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan masyarakat supaya mematuhi peraturan jalan raya ditetapkan dan memastikan kenderaan dan rumah berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan.