KUALA LANGAT - Pemilihan rakan artis dan pempengaruh media sosial sebagai ikon sesebuah persatuan kemanusiaan bukan semata-mata untuk tujuan promosi tetapi sebagai satu daripada cara untuk membuktikan wang derma yang disalurkan sampai kepada tujuan asal dan pihak yang ingin dibantu.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Cinta Syria Malaysia (CSM) Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman berkata kaedah tersebut turut dilaksanakan persatuannya yang ditubuhkan pada 2013 di Mafraq, Jordan bagi meyakinkan masyarakat tentang ketelusan pihaknya membelanjakan wang yang didermakan dengan ikon itu sendiri akan menyiarkan siri bantuan yang disertai mereka di platform media sosial masing-masing.
Ikon CSM dibarisi nama besar dalam industri muzik tanah air antaranya Ahmad Faizal Mohammad Tahir (Faizal Tahir), Mohammad Noh Salleh (Noh Salleh) dan Shazrina Azman (Mizz Nina).
Menurut Ahmad Musa kesemua ikon tersebut tidak ditanggung perbelanjaan mereka oleh badan bukan kerajaan (NGO) tersebut ketika menyertai misi menyalurkan bantuan khususnya kepada pelarian Syria, bagi memastikan duit hasil derma itu benar-benar sampai kepada mereka.
"Ikon-ikon ini pergi menyerahkan bantuan dengan mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk tiket penerbangan. Ikon kita tidak dibayar kerana semua pergi dengan niat menjadi sukarelawan dan datang untuk sama-sama bekerja.
"Kami mahu duit sumbangan itu khususnya dari rakyat Malaysia ini betul-betul digunakan untuk keperluan pendidikan dan kebajikan pelarian Syria ini," katanya pada Bernama selepas Majlis Iftar Nur Kasih CSM di sini, malam Ahad.
Ahmad Musa berkata, sehingga kini kira-kira RM5 juta duit sumbangan yang dikhususkan untuk pendidikan anak-anak Syria telah disalurkan kepada pelarian Syria di Jordan dan Malaysia serta di negara itu sendiri sejak ia ditubuhkan.
Sehingga kini, lebih kurang 5,000 anak-anak Syria telah dibantu bagi meneruskan pendidikan di Sekolah KITA yang dibangunkan CSM di Syria, Jordan dan Bangi, Selangor.
Ahmad Musa berkata, pihaknya juga turut menggunakan sepenuhnya platform media sosial antaranya Facebook CSM dalam memaklumkan pemberian sumbangan kepada rakyat Syria dengan menerbitkan video dokumentari perjalanan ketika melakukan aktiviti kesukarelawan sebagai jurnal harian mereka.
Di samping itu, pihaknya juga kini dalam proses untuk melaksanakan audit dalaman dalam masa terdekat yang akan dilaksanakan oleh pihak luar walaupun perkara itu tidak diwajibkan kepada NGO dalam memberi keyakinan pada masyarakat, ketelusan mereka membelanjakan wang yang disumbangkan.
CSM yang sebelum ini dikenali sebagai Tangisan Syria di Bumi Jordan (TSDBJ) yang didaftarkan secara rasmi sebagai NGO pada 2014 itu telah memulakan aktiviti sukarelawan membantu pelarian Syria di Jordan, Turki, Lebanon dan Malaysia khususnya dalam bidang pendidikan.
Mereka yang berminat membantu anak-anak pelarian Syria mendapat pendidikan yang teratur boleh menderma menerusi akaun Maybank 562834640983 ataupun melayari www.cintasyriamalaysia.com. - Bernama