TONGGAK pertahan Chelsea, Antonio Rudiger sah akan meninggalkan Chelsea sejurus kontraknya bersama kelab London itu tamat pada hujung musim.
Perkara tersebut disahkan pengendali Chelsea, Thomas Tuchel sambil memberitahu, pemain kelahiran Jerman itu sudah menyatakan hasrat tersebut dalam pertemuan yang dilakukan secara peribadi baru-baru ini.
Iklan
Iklan
"Situasi ketika ini ialah, dia (Rudiger) mahu meninggalkan kelab pada penghujung musim ini. Dia telah memaklumkan mengenai perkara tersebut dalam pertemuan dengannya baru-baru ini.
"Kami sudah melakukan apa yang termampu untuk mengekalkannya di sini namun, kami sudah tidak berdaya lagi kerana kelab sedang dikenakan sekatan.
"Saya rasa mungkin tanpa sekatan kami mampu untuk mengekalkannya. Bagaimanapun kami menghormati keputusan yang dia telah ambil demi masa depan karier bola sepaknya," katanya.
Untuk rekod, Rudiger yang menyertai Chelsea dari AS Roma pada 2017 merupakan individu penting dalam skuad kendalian Tuchel pada musim ini.
Sepanjang bersama Chelsea, bek tengah itu berjaya memenangi Piala FA, Liga Juara-Juara Eropah, Liga Europa, Piala Super UEFA dan Piala Kelab Dunia.