KUALA LUMPUR - Malaysia dijangka mendapat manfaat apabila pengimport minyak sawit mengalihkan permintaan dari Indonesia ke Malaysia berikutan langkah mengejut dan tidak dijangka oleh Indonesia untuk mengenakan larangan eksport ke atas komoditi itu.
Selain itu langkah berkenaan juga akan meningkatkan lagi harga minyak sayuran global secara keseluruhan, kata Public Investment Bank.
Indonesia, pengeluar dan pengeksport minyak sawit utama dunia mengumumkan keputusannya untuk mengenakan larangan eksport ke atas komoditi itu mulai 28 April sehingga notis selanjutnya dalam usaha negara itu untuk menangani kenaikan harga minyak masak domestik.
Malaysia merupakan pengeluar minyak sawit kedua terbesar.
Eksport minyak sawit Indonesia membentuk kira-kira 57 peratus daripada eksport minyak sawit global dan 32 peratus daripada eksport minyak sayuran global.
"Langkah mengejutkan itu dibuat di tengah-tengah kebimbangan yang memuncak mengenai pengetatan bekalan minyak sayuran global.
"Sebagai tindak balas kepada langkah yang tidak dijangka itu, harga minyak kacang soya melonjak kepada rekod tertinggi pada AS$1,795 satu tan (AS$1=RM4.34) manakala niaga hadapan minyak sawit meningkat RM36 kepada RM6,349 satu tan,” katanya sambil mengekalkan saranan ‘overweight’ ke atas sektor perladangan.
Dalam notanya pada Khamis, ia turut menyatakan dengan larangan eksport berkenaan, terdapat sedikit ruang untuk peserta perladangan huluan untuk merundingkan harga yang lebih tinggi dengan bahagian penapisan.
"Berdasarkan gabungan terkini cukai eksport minyak sawit mentah (MSM) dan levi eksais MSM sebanyak AS$575 (RM2,415) satu tan, ditambah pula dengan cukai eksport MSM sebanyak RM474 satu tan di Malaysia, kami berpendapat Indonesia kini berdagang pada tahap harga diskaun MSM yang sangat ketara iaitu RM4,800 satu tan berbanding Malaysia RM6,773 satu tan.
"Peserta perladangan Malaysia seperti Genting Plantation, KLK, Sime Darby Plantation dan TSH yang mempunyai pendedahan kukuh kepada pasaran Indonesia, tidak akan dapat menguasai sepenuhnya prestasi harga MSM semasa yang kukuh berikutan duti eksport yang tinggi dan dasar eksport sifar,” katanya. - Bernama